NEW YORK – Pertubuhan Kesihatan Sedunia memberi amaran bahawa kelonggaran sekatan perjalanan perlu dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.
Jika kelonggaran itu dilakukan terlalu cepat, dikhuatiri akan menyebabkan wabak Covid-19 merebak semula.
Sekatan perjalanan yang dilaksanakan ternyata efektif dan orang ramai mesti bersedia dengan gaya kehidupan baru ini bagi membolehkan komuniti berfungsi semula ketika wabak koronavirus terus dipantau.
“Kita mesti menyesuaikan sistem kehidupan dan kesihatan selari dengan epidermik sehingga vaksin atau rawatan yang efektif ditemui,” kata Pengarah Serantau bagi Pasifik Barat, Takeshi Kasai.
Walaupun Pasifik Barat menyaksikan penurunan kes jangkitan berbanding Amerika Syarikat atau Eropah, tetapi Jepun dan Singapura merekodkan kenaikan kes.
Kasai juga memberi amaran bahawa wabak itu tidak boleh mengganggu program vaksinasi terhadap penyakit lain seperti polio, campak dan rubella.
Jika tidak, Pasifik Barat dapat menghadapi krisis baru ketika sistem kesihatan sudah tegang nanti, katanya. – MalaysiaGazette