Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal menunjukkan lori yang dirampas berkait kes curi kabel pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 21 APRIL 2020.

PETALING JAYA – Kertas siasatan kes seorang inspektor merogol dua wanita Mongolia telah lengkap dan kini dirujuk kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya menerima arahan untuk mengambil beberapa tindakan susulan dalam siasatan tersebut.

“Itu sahaja saya boleh laporkan buat masa ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya hari ini.

Tambah beliau, ketika ini suspek  dibebaskan dengan jaminan polis sementara kertas siasatan diselesaikan untuk tindakan lanjut.

Ditanya mengenai keadaan kesihatan kedua-dua mangsa rogol, Nik Ezanee memberitahu, perkembangan ternaharu mengenai kes tersebut akan dumaklumkan kemudian.

Kedua-dua mangsa yang berusia 20 dan 37 tahun itu kini berada di bawah perlindungan D11 (Bahagian Siasata Jenayah Seksual dan Keganasan Wanita dan Kanak-Kanak).

Polis kini dalam proses memohon Perintah Perlindungan Interim (IPO) untuk menentukan mereka adalah mangsa pemerdagangan manusia.

Pada 11 April lalu, pegawai berusia 30 tahun itu ditahan selepas polis menyelamatkan kedua-dua wanita warga asing itu i sebuah hotel.

Kedua-dua mangsa itu ditahan dalam sekatan jalan raya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

Suspek kemudian ditahan reman selama lima hari di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol sebelum disambung reman dua hari lagi untuk melengkapkan siasatan kes sebelum dibebaskan dengan jaminan polis pada Ahad lalu.

Polis membuka dua kertas siasatan kes rogol dan kes di bawah Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Antipsom). – MalaysiaGazette