GENEVA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menegaskan bahawa badan itu tidak menyembunyikan apa-apa mengenai koronavirus daripada Amerika Syarikat.

Lagipun, pakar-pakar teknikal Amerika Syarikat merupakan sebahagian daripada usaha WHO dalam membendung penularan wabak koronavirus.

Kenyataan itu dibuat oleh Pengarah Urusan WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus yang menerima kritikan daripada Presiden Donald Trump yang menuduhnya tidak mendedahkan maklumat sebenar dan melindungi China.

Berikutan rasa tidak puas hati itu menyebabkan Amerika Syarikat menggantung sumbangan dana kepada badan kesihatan dunia itu minggu lalu.

Tedros berkata, seramai 15 kakitangan dari Pusat Kawalan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) telah dipinjamkan ke agensi PBB sejak Januari.

Mereka telah bersama-sama dengan dua pegawai Amerika Syarikat di WHO yang turut ditugaskan untuk jangka masa panjang.

“Memiliki kakitangan Amerika Syarikat CDC bermakna tiada apa yang disembunyikan dari Amerika Syarikat sejak hari pertama lagi.

“Bahkan semua negara mendapat maklumat dengan serta-merta,” tegasnya.

Amerika Syarikat, penderma terbesar WHO, kini mempunyai kes wabak Covid-19 terbesar di dunia, penyakit yang disebabkan oleh koronavirus.

WHO memimpin perang global melawan virus, yang telah menjangkiti lebih daripada 2.4 juta orang dan membunuh 165.000 sejak ia muncul di bandar Wuhan di China akhir tahun lalu.

Tedros mendakwa berlaku perpecahan antara individu dan parti politik telah ‘memacu’ wabak itu, tetapi tidak menyatakan secara spesifik.

WHO telah membuat pesanan untuk 30 juta ujian diagnostik dalam tempoh 4 bulan akan datang, kata Tedros.

Ia menghantar hampir 180 juta topeng pembedahan pada bulan April dan Mei serta 54 juta penutup hidung dan mulut dan lebih daripada 3 juta pasang kaca mata pelindung, katanya.

Lebih daripada 600 hospital pula sudah bersedia untuk mendaftarkan pesakit bagi Uji Solidariti ubat untuk melawan penyakit ini. – MalaysiaGazette