Suspek memakai 'windbreaker' berwarna hijau gelap yang menutup bahagian kepala dan penutup mulut dan hidung berwarna hitam.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki bersenjatakan sepucuk pistol melepaskan satu das tembakan dan memaksa pekerja sebuah bank di Seksyen 13 Shah Alam, Selangor untuk menyerahkan wang.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharuddin Mat Taib berkata, hasil siasatan di tempat kejadian, polis mendapati suspek telah melepaskan tembakan pada pintu laluan masuk ke bahagian kaunter wang.

Katanya, dalam kejadian pukul 2.45 petang itu, suspek seterusnya memaksa pekerja bank menyerahkan wang yang semuanya berjumlah RM3,716.

Imej kamera litar tertutup yang menunjukkan kejadian samun di sebuah bank di Seksyen 13, Shah Alam.

“Pihak polis telah menemui satu kelongsong peluru dan sebutir “slug” (anak peluru) di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan sambil menambah ketika kejadian terdapat empat orang kakitangan dan seorang pengawal keselamatan.

Menurut Baharuddin, suspek dilihat memakai ‘windbreaker’ berwarna hijau gelap yang menutup bahagian kepala dan penutup mulut dan hidung berwarna hitam.

Tambah beliau, suspek mempunyai bentuk badan yang kurus dan tinggi.

Baharuddin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjatapi (penalti lebih berat) 1971, yang membawa hukuman mati.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, ASP Chua Cheong Kheow. – MalaysiaGazette