KUALA LUMPUR  – Hanya beberapa jam selepas penduduk Taman Sri Murni, Selayang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), mereka mula menerima bantuan bekalan makanan.

Namun ada dalam kalangan mereka mendakwa bekalan makanan seperti beras, biskut, minyak masak, teh uncang dan bihun yang diterima tidak mencukupi.

Seorang pembaca MalaysiaGazette, Radha Thasvindren yang melahirkan kerisauan itu berkata, rata-rata warga tempatan yang tinggal di kawasan itu berhadapan dengan masalah mendapatkan makanan serta keperluan asas, termasuk gas memasak lokasi tersebut diisytihar PKPD tanpa diberi ‘notis awal.

“Kami tidak dapat mengakses kepada barangan masakan kering mahupun basah, bagaimana untuk kami terus hidup seperti ini untuk tempoh dua minggu akan datang?

“Lebih-lebih lagi apabila masyarakat Muslim akan mula mengerjakan ibadat puasa dalam dua hari lagi, tentu sekali sangat mengecewakan sekali jika keadaan ini berterusan. Bantulah kami sampaikan masalah kami ini,” tulisnya dalam sepucuk surat yang dihantar kepada MalaysiaGazette.

Radha turut berkongsi gambar bekalan makanan yang diterima oleh penduduk setempat.

“Hanya ini diberikan kepada kami pagi tadi. Semalam kami sempat lagi masak makan malam.

“Mereka tidak benarkan kami keluar, itu kami faham dan tidak apalah. Tetapi sekurang-kurangnya benarkanlah orang luar untuk membeli bahan keperluan untuk kami sehingga tamatnya PKPD ini. Itu sahaja kami pinta.

“Bagaimana kami akan terus hidup seperti ini? Sekarang pun gas memasak sudah habis tapi mereka tidak benarkan kami beli,” ujarnya.

Kelmarin kerajaan mengumumkan Pusat Bandar Utara termasuk Taman Sri Murni dan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur dikenakan PKPD bermula semalam hingga 3 Mei ini. –MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Jangan risau.. bkn taman seri murni shj yg di kenakan pkpd..sblm ni dah byk tmpt di kenakan pkpd.. mereka masih lg boleh teruskan kehidupan.. kerajaan tentu akan selesaikan masalah itu..hnya perlu bersabar seketika

Comments are closed.