drunk sodomised sodomy driver lorry attendant
ACP Nik Ezanee Mohd Faisal.

KUALA LUMPUR – Dua wanita Mongolia yang mendakwa diselamatkan pada 11 April lalu selepas disyaki menjadi mangsa rogol melibatkan seorang pegawai Polis berpangkat Inspektor kini diletakkan di bawah Perintah Perlindungan Sementara atau Interim Protection Order.

Ketua Polis daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, turut berada di bawah perlindungan IPO adalah tiga lagi individu yang difahamkan berkait rapat dan boleh membantu polis dalam siasatan kes tersebut.

Bagaimanapun butiran lanjut mengenai tiga lagi individu itu tidak didedahkan beliau.

“Kedua-dua mangsa (wanita Mongolia) dan tiga lagi (individu) diletakkan dibawah Interim Protection Order.

“Dalam kenyataan dua hari lalu saya sudah menjelaskan bahawa kami sudah merujuk kertas siasatan kepada Bukit Aman.

“Dan di situ kami menerima beberapa arahan tindakan kemaskini yang perlu dibuat dalam siasatan sebelum dikemukakan kepada pendakwaraya kes ini untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahli Parlimen Petaling Jaya berkaitan siasatan kes rogol itu baru-baru ini.

Tambah beliau katanya suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis.

“Ya. kita juga telah mengeluarkan surat tahan kerja ke atas pegawai (dalam siasatan) itu semalam.

“Itu sahaja maklumat terkini yang saya boleh kongsikan untuk anda (media),” tegasnya tanpa mengulas atau menyediakan butiran lebih lanjut.

Beliau juga tidak memperincikan bentuk tindakan kemaskini yang dikehendaki Bukit Aman dalam siasatan kes tersebut sebelum dirujuk kepada Pendakwaraya untuk cadangan proses tuduhan di mahkamah.

Sebelum ini Suspek berusia 30 tahun yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Petalng Jaya ditahan pada 11 April lalu selepas didakwa mengurung dan merogol kedua-dua mangsa warga Mongolia secara paksaan.

Kedua-dua wanita berusia 20 dan 37 tahun itu ditahan dalam sekatan jalan raya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas hasil pemeriksaan terhadap mereka mendapati tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah setelah mengakui datang ke negara ini untu melancong.

Suspek kemudian direman lima hari sebelum dilanjutkan reman selama dua hari untuk melengkapkan siasatan.

Bagaimanapun dia dibebaskan dengan jaminan polis Ahad lalu.

Sementara Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, polis selain menyiasat kes dalam aspek rogol wanita, kertas siasatan juga dibuka di bawah Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Antipsom).

Katanya, tindakan itu diambil bagi menentukan sama ada kedua-dua wanita merupakan mangsa pemerdagangan manusia dan sebagainya dan diletakkan di bawah IPO sebagai perlindungan daripada eksploitasi pihak luar.-MalaysiaGazette