KUALA LUMPUR – Pergerakan Wirawati Putra Malaysia kesal sikap sesetengah pihak mempersoalkan tindakan pasukan keselamatan tidak membenarkan bot yang membawa sejumlah pelarian Rohingya mendarat ketika negara sibuk menangani serangan wabak pandemik Covid-19.
Apa yang dilakukan polis, anggota tentera dan Imigresen itu adalah tanggungjawab mereka memantau sebarang aktiviti pencerobohan bagi memastikan kedaulatan dan keamanan negara terjaga.
Ketuanya, Dr. Asmah Razalli berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan lagi, Malaysia telah menutup sempadan antarabangsa dari kemasukan pelancong asing demi memutuskan rantaian Covid-19.
Hasilnya kata beliau, Malaysia antara negara yang berjaya mengawal peratusan peningkatan kes Covid-19 dan setakat ini masih mengekalkan kadar kematian minimum berbanding negara lain.
“Ini satu pencapaian mengkagumkan dan penahanan serta tindakan dari sebarang bentuk pencerobohan sempadan negara di perairan antarabangsa harus dipuji.
“Malaysia tidak memerlukan risiko tambahan wabak dari segi faktor kesihatan dan bebanan kewangan jangka panjang yang memerlukan penjagaan serta pembelaan setiap pelarian yang datang tanpa diundang.
“Malaysia juga tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 mahupun Protokol 1967, sekali gus tidak mempunyai rangka kerja perundangan atau pentadbiran yang mengawal status dan hak pelarian,” katanya kepada media, hari ini.
Semalam, Duta Majlis Rohingya Eropah ke Malaysia, Tengku Emma Zuriana Tengku Azmi menggesa kerajaan Malaysia mempertimbangkan semula keputusan menolak sekumpulan kira-kira 200 etnik Rohingya dalam sebuah bot yang cuba memasuki perairan negara ini.
Beliau turut meminta kerajaan Malaysia mengubah fikiran atas dasar kemanusiaan bagi membolehkan minoriti tertindas itu mendapat perlindungan di negara ini.
Sementara itu, Presiden Organisasi Hak Asasi Manusia Rohingya Myanmar, Malaysia (MERHROM), Jabar Ahmad Abdul Ghani pula meminta Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNCHR) menghulurkan bantuan untuk membantu kira-kira 200,000 pelarian etnik itu yang berada di negara ini.
Menurut Dr. Asmah, sekarang ini bukan masa sesuai untuk barisan hadapan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pertahanan berdepan dengan kerenah atau kelompok pendatang asing tanpa izin (Pati).
Yang pasti, ujar beliau, ia membebankan tanggungjawab pihak berkuasa ketika negara perlu menjaga rakyat sendiri serta mengekang wabak Covid-19 daripada berleluasa.
“Lebih menyedihkan apabila PKPD di beberapa kawasan di Lembah Klang ini adalah kawasan yang majoritinya warga asing bermaustatin seperti Selangor Mansion dan Taman Sri Murni Fasa 2.
“Kita juga dapati 70 hingga 80 peratus Pati yang mendominasi pasar borong Kuala Lumpur dan sekitar Taman Seri Murni Fasa 2 adalah etnik Rohingya dan warga Myanmar.
“Rakyat tempatan mulai kurang senang apabila sesetengah mereka ini tidak mengikut peraturan dan gagal menjaga kebersihan sepanjang PKP dilaksanakan,” katanya.
Kata beliau, satu kes kematian akibat Covid-19 melibatkan warga asing juga meresahkan rakyat mengenai tahap kesihatannya kerana kebanyakan mereka tidak berani membuat saringan disebabkan takut ditangkap.
Beliau memberitahu, Wirawati Putra sentiasa menyokong barisan keselamatan, kesihatan dan pertahanan negara dari diceroboh serta diperlekehkan oleh mana-mana pihak yang tidak tahu menghargai nilai kemanusiaan serta jasa baik kerajaan selama ini terhadap penindasan serta ketidakadilan dunia.
“Kita sentiasa peduli rakyat dan rakyat Malaysia adalah fokus utama parti Putra dalam menjaga kebajikan, kesihatan serta keselamatan tanpa membelakangkan nilai kemanusiaan dunia,” katanya. – MalaysiaGazette