Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan membuka kaunter bagi urusniaga melibatkan kenderaan perkhidmatan awam, kenderaan barangan dan kenderaan pelancongan bermula pada 29 April ini.

Dalam satu kenyataan agensi penguat kuasa itu memaklumkan, kaunter operasi berkenaan akan dibuka pada hari bekerja dari pukul 8 pagi hingga 1 petang.

Menurut kenyataan itu, perkhidmatan yang disediakan itu hanya melibatkan urusan untuk pembaharuan lesen kenderaan motor (LKM) kenderaan perdagangan, pembaharuan lesen memandu dan lesen vokasional serta penyelesaian senai hitam dan pembayaran saman.

“Bagi urus niaga di kaunter melibatkan perkhidmatan JPJ yang lain, arahan pembukaan akan dikeluarkan berdasarkan perkembangan semasa isu pandemik Covid-19 dan keputusan kerajaan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Demi memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan dan pematuhan terhadap PKP yang tekah diarahkan, orang ramai yang datang berurusan di JPJ adalah dinasihatkan untuk mengukuti segala garis panduan pencegahan Covid-19 seperti yang telah ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette