Ahmad Marzuk Shaary

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary menyelar tindakan pihak tertentu mewujudkan petisyen awam untuk memilih calon bagi mengisi jawatan Mufti Wilayah Persekutuan.

Sambil menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak wajar, tegas beliau, petisyen itu juga seperti tidak menghormati dan membelakangkan kuasa serta hak Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, semua pihak harus menghormati peruntukan yang memberi kuasa dan hak melantik Mufti Wilayah Persekutuan kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Mewujudkan petisyen adalah perbuatan tidak menghormati baginda dan ini merupakan budaya tidak sihat.

“Mufti bukan boleh dipilih oleh orang ramai melalui undian atau sokongan. Saya harap pihak terbabit hentikan petisyen berkenaan,” katanya di Kota Bharu, Kelantan, semalam.

Artikel berkaitan: Habib Ali Zaenal Abidin jadi Mufti WP baharu?

Beliau mengulas laporan media Ahad lalu, bahawa lebih 42,000 tanda tangan diperoleh menerusi satu petisyen secara dalam talian yang mencadangkan pendakwah bebas, Habib Ali Zainal Abidin Al-Hamid dilantik sebagai Mufti Wilayah Persekutuan yang baharu.

Cadangan itu dibuat berikutan kekosongan jawatan berkenaan selepas Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Agama.

Artikel berkaitan: Henti lobi jawatan Mufti Wilayah Persekutuan – Veteran UMNO

Petisyen yang diwujudkan menerusi platform change.org itu dibuat selepas ada kelompok mencadangkan beberapa nama, antaranya Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin; pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Rozaimi Ramle; dan pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Kamilin Jamilin.

Selain itu, beberapa nama ilmuwan yang lebih memahami Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) turut menjadi calon, antaranya pakar hadis, Dr. Khafidz Soroni dan pensyarah Kulliyyah Ilmu Berteraskan Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Muhammad Ayman Al-Akiti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast