Veeran

KUALA LUMPUR – Negara masih ‘berperang’ dengan wabak pandemik Covid-19 walaupun statistik menunjukan perkembangan positif sejak akhir-akhir ini.

Semalam Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat keputusan terus melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu lagi.

Berikutan itu timbul persoalan apakah nasib sebahagian besar perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terutama usahawan mikro yang dijangka gulung tikar jika tempoh PKP diteruskan untuk tempoh yang lebih lama.

Menurut Ahli Majlis Tertinggi Pusat MIC (CWC) merangkap Pemangku Ketua Bahagian MIC Larut, Veeran Muniandy, beliau bimbang dan bersimpati dengan golongan ini yang telah kehilangan pendapatan lebih daripada sebulan.

“Saya akui, kita terpaksa melakukan sesuatu bagi melawan dan menangani wabak yang dianggap pandemik seluruh dunia termasuk negara kita, Covid-19 bukanlah sesuatu kita boleh pandang remeh.

“Sememangnya segala inisiatif yang sedang dilakukan kerajaan bagi membendung penyakit ini daripada terus menular sehingga meragut nyawa adalah sesuatu yang kita perlu hargai dan diberi pujian tetapi pada masa sama, ramai juga terkesan dan terjejas kerana inisiatif ini.

“Sebenarnya, pakej bantuan Prihatin oleh kerajaan yang di rangka dengan andaian tempoh PKP antara dua hingga empat minggu yang kini sudah menjangkau lebih daripada itu pastinya tidak cukup untuk terus biayai kehidupan seharian sebilangan besar rakyat kita.

“Saya percaya ramai sudah kehabisan wang bantuan tersebut, duit itu juga bukan satu nilai besar dan digunakan untuk bersenang lenang sebaliknya untuk kelangsungan kehidupan seharian khasnya bekalan makanan. Ini adalah hakikat yang di fahami oleh semua.

“Saya sendiri sedang berdepan dengan golongan ini, yang menghubungi saya selain saya mendengar keluh kesah mereka. Saban hari bimbang fikir tentang masa depan mereka, tentang apa yang bakal berlaku pada hari esok. Saya amat kasihan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Ujar Veeran, sudah tiba masanya kerajaan menimbang supaya menambah lagi bantuan selepas melanjutkan tempoh PKP sehingga 12 Mei ini.

“Kerajaan perlu peka dengan derita yang sedang dilalui oleh golongan paling terjejas serta umumkan langkah terbaik untuk mereka.

“Juga perlu permudahkan semua urusan ini tanpa birokrasi, janganlah kita kedekut dengan rakyat yang amat memerlukan perhatian kerajaan pada masa ini. Golongan seperti B40 dan M40 perlu dibantu dengan pakej lanjutan.

“Mereka ini bukan malas atau tidak produktif tetapi hakikat pandemik ini yang tidak izinkan mereka untuk keluar mencari rezeki. Adalah salah seandainya kerajaan lanjutkan PKP tanpa sebarang pakej tambahan serta biarkan mereka terkapai-kapai. Tolonglah,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast