PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyambut baik pengumuman Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk tempoh dua minggu lagi.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, langkah pelanjutan oleh Perdana Menteri itu mampu memberi ruang kepada Kerajaan memerangi penularan Covid-19 di Malaysia secara habis-habisan, sebelum dapat dinilai semula tahap keberkesanan serta keadaan semasa jangkitan berkenaan.
Katanya, KKM juga dapat meneruskan tindakan sedia ada, serta menggiatkan lagi usaha mengurangkan kes positif Covid-19 di negara ini melalui pendekatan tertumpu.
“Sepanjang tempoh pelaksanaan PKP fasa ketiga ini, kita telah melihat tren jumlah kes baharu Covid-19 yang lebih terkawal tanpa kenaikan yang mendadak.
“Ini sememangnya membantu pihak KKM untuk terus mempunyai kapasiti sama ada di lapangan atau di hospital untuk terus mengenalpasti, menyaring, mengasingkan dan merawat kes-kes Covid-19,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di sini hari ini.
Noor Hisham memberitahu, banyak tindakan dapat dijalankan dengan lebih berkesan dengan bantuan PKP dan juga
Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Dengan memberikan contoh PKPD di lapan kawasan setakat ini, Noor Hisham berkata, langkah itu telah dapat mengenalpasti sebanyak 618 kes positif Covid-19 iaitu 10.9 peratus daripada keseluruhan kes tersebut.
“Oleh itu, rakyat Malaysia perlulah menyesuaikan diri dengan norma baru dalam kehidupan seharian kita seperti patuh kepada PKP dengan duduk di rumahkecuali bagi mereka yang bekerja dalam sektor yang dibenarkan serta bagi urusan-urusan penting yang dibenarkan.
“Mengamalkan kebersihan diri yang tinggi pada setiap masa dengan kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun amalan jarak sosial selamat iaitu sekurang-kurangnya satu meter daripada orang lain,” ujarnya. – MalaysiaGazette