Suasana lenggang di dalam pasar selepas pengunjung hanya dibenarkan masuk mengikut giliran untuk membeli barangan keperluan asas bagi membuat persiapan sempena sambutan bulan Ramadan pada hari ke 38 Perintah Kawalan Pergerakan di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 24 APRIL 2020.

KUALA LUMPUR – Terdapat laporan media semalam yang mendakwa tiga peniaga Pasar Chow Kit positif Covid-19.

Berikutan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan ujian saringan ke atas sekurang-kurangnya 1,000 peniaga dan pekerja di pasar berkenaan.

Namun ia tidak menjadi alasan kepada warga kota untuk membeli barangan keperluan di pasar itu yang dibuka pada pukul 6 pagi ini.

Rata-rata orang ramai yang ditemui berkata, mereka datang ke Pasar Chow Kit kerana semua barangan ada dijual di pasar itu dan ini lebih mudah berbanding perlu pergi ke beberapa tempat untuk mendapatkannya.

Tinjauan MalaysiaGazette pada jam 10 pagi ini mendapati pengunjur pasar itu, termasuk warga asing, berbaris hampir 1 kilometer menunggu giliran untuk membeli barangan keperluan mereka.

Anggota PDRM dan anggota APM melakukan kawalan ke atas pengunjung yang beratur untuk membeli barangan keperluan asas bagi membuat persiapan sempena sambutan bulan Ramadan pada hari ke 38 Perintah Kawalan Pergerakan di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 24 APRIL 2020.

MalaysiaGazatte difahamkan ketika itu, sekurang-kurangnya 500 orang sudah membeli keperluan masing-masing.

Ada yang sudah beratur lebih satu jam namun masih sabar menunggu giliran untuk membeli ayam, ikan, daging, telur, sayur-sayuran dan barangan asas lain.

Rata-rata mereka juga mahu membeli untuk bekalan bagi tempoh seminggu selain menyimpan bekalan sempena Ramadan yang bermula hari ini.

Pengunjung dilihat membeli barangan keperluan asas bagi membuat persiapan sempena sambutan bulan Ramadan pada hari ke 38 Perintah Kawalan Pergerakan di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 24 APRIL 2020.

Pasukan keselamatan termasuk Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tetap memastikan setiap pengunjung disaring terlebih dahulu sebelum masuk ke pasar dan membeli keperluan mereka dalam tempoh 15 minit.

Jarak masing-masing juga dijaga dan mendapat teguran setiap masa jika ia dilanggar.

Mereka hanya dibenarkan masuk dalam kumpulan 20 orang dan kesemua mereka memakai topeng muka.

Pihak polis turut menyediakan laluan khas untuk warga emas yang mahu mendapatkan barang keperluan mereka.

Seorang pengunjung dilihat membawa barangan yang dibeli bagi membuat persiapan sempena sambutan bulan Ramadan pada hari ke 38 Perintah Kawalan Pergerakan di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 24 APRIL 2020.

Bagi warga asing, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyemak pasport dan kepada yang tidak mempunyai dokumen perjalanan diminta pulang manakala yang degil ditangkap sebelum tindakan susulan diambil.

Pasukan MalaysiaGazette ‘terkejut’ apabila sempat bercakap dengan seorang warganegara Indonesia yang dikenali sebagai Busarnie, 64 , yang disyaki tidak menghabiskan tempoh kuarantin selama dua minggu.

Walaupun baru seminggu lebih mengasingkan diri, wanita itu sudah ‘keluar’ dari kuarantin dan membeli barangan harian.

Namun perkara itu disedari oleh pegawai KKM dan dia diminta pulang.

Antara notis arahan penutupan gerai yang ditampal oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada hari ke 38 Perintah Kawalan Pergerakan di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 24 APRIL 2020.

Sementara itu, tiga peniaga yang positif wabak Covid-19 menjual ayam dan sayur-sayuran di pasar harian tersebut.

Kawasan penjualan ayam itu kelihatan telah di tutup untuk sementara waktu. –MalaysiaGazette