Petugas KKM mengiringi sebahagian penduduk bagi menjalani saringan kesihatan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan penularan wabak Covid-19 di Flat Sri Murni, Selayang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 23 APRIL 2020

KUALA LUMPUR – Belum ada lagi sebarang kes direkodkan berkaitan jangkitan semula Covid-19 dalam kalangan pesakit yang pulih di Malaysia .

Bagaimanapun, tiada bukti pesakit pulih sepenuhnya terlindung daripada jangkitan semula wabak itu, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, semua pesakit pulih perlu menjalani sesi kaunseling sebelum dibenarkan pulang bagi memastikan langkah pencegahan dan amalan kebersihan diutamakan untuk mengelak dijangkiti semula.

“Walaupun ada (pesakit) respons antibodi Immunoglobulin M (IgM) dan Immunoglobulin G (IgG) tetapi ia tak melindungi mereka daripada dijangkiti semula COVID-19.

“Tiada bukti mereka dilindungi daripada jangkitan semula, selain besar kemungkinan keadaan ini boleh berlaku,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Noor Hisham berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menegaskan antibodi pesakit pulih jangkitan Covid-19 tidak melindungi mereka daripada dijangkiti semula.

Menurut Noor Hisham lagi, walaupun mereka yang dijangkiti seramai 5,780 dan dibenarkan keluar wad seramai 3,862 mempunyai antibodi tetapi ia tidak cukup melindungi mereka daripada terkena sekali lagi jangkitan itu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast