Anggota tentera) melakukan kawalan laluan keluar masuk di sekitar Selangor Mansion, Malayan Mansion dan Jalan Masjid India berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan ketika tinjauan Malaysia Gazette di sekitar Masjid India, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 21 APRIL 2020.

KUALA LUMPUR – Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) bersetuju dengan pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi pada masa yang sama “sakit kepala” dengan tingkah laku yang menghalang dan menyukarkan pengusaha yang mahu beroperasi dalam tempoh PKP.

Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, ramai pengusaha tidak dapat memohon penyambungan operasi secara lancar.

Beliau berkata, kebenaran kerajaan supaya sesetengah perusahaan diaktifkan semula merupakan satu-satunya cara untuk merangsang ekonomi.

Katanya kepada China Press, permohonan yang banyak sehingga melumpuhkan sistem Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri menunjukkan begitu banyak pengusaha yang berharap menyambung operasi.

Beliau bagaimanapun berkata, pengusaha berdepan pelbagai cabaran semasa memohon termasuk perlu menghabiskan tiga hingga lima jam untuk memasuki laman web berkenaan.

“Pihak berkuasa pada masa ini telah memberi kelulusan secara berterusan, tetapi masih banyak masalah yang ada.

“Antaranya adalah pekerja perusahaan yang mahu menyambung semula operasi perlu menjalankan saringan COVID-19 di klinik di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Malangnya, klinik-klinik ini belum menerima alat saringan COVID-19 dan mereka tidak pasti bila alat akan sampai,” kata Shamsuddin.

Tambahnya lagi, sesetengah perusahaan telah memulakan operasi tanpa saringan pekerja yang lengkap.

“Mereka kini berdepan satu masalah lagi iaitu kerajaan tempatan turut meminta mereka mengemukakan permohonan,” katanya. – MalaysiaGazette