Madyasir Ahmad Basir

Pada 17 April 2020 yang lalu telah diumumkan Bantuan Tunai Ihsan Covid-19 oleh kerajaan negeri Johor di bawah pimpinan YAB Datuk Haji Hasni Mohammad. Bantuan tunai sebanyak RM 250 atau RM 500 ini dimaklumkan adalah khas kepada golongan yang tercicir daripada Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan Bantuan Sara Hidup (BSH) oleh kerajaan persekutuan.

Saya yakin bantuan tunai ini yang diumumkan kerajaan negeri Johor adalah kerana mereka cakna bahawa ramai pihak terkena tempias berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain ramai juga golongan yang tercicir daripada BPN atau BSH.

Pada saya, ia satu langkah yang amat proaktif dan positif oleh kerajaan negeri.

Walau bagaimanapun, sebagai seorang pemerhati bebas di media sosial dan lapangan marhaen, saya dapati penerimaan rakyat Johor terhadap bantuan ini bercampur baur, ada yang menerimanya secara positif dan ada juga yang negatif.

Daripada sudut positif, kebanyakan rakyat negeri Johor menyatakan rasa syukur mereka kepada kerajaan negeri berhubung bantuan tunai yang telah diumumkan. Jika dilihat daripada sudut negatif pula, mereka mempertikai mengenai kaedah pelaksanaan atau cara penyaluran bantuan tunai itu.

Kerajaan negeri memaklumkan bahawa golongan yang layak menerima bantuan tunai ini akan dikenal pasti oleh Wakil/Penyeleras yang dilantik oleh pusat saluran. Terdapat tiga kategori pusat saluran iaitu Pejabat Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Kaedah permohonan bantuan yang diumumkan oleh kerajaan negeri ini menimbulkan reaksi negatif dalam kalangan rakyat Johor kerana rata-rata mempersoalkan mengapa kerajaan negeri tidak memilih kaedah permohonan secara dalam talian atau Online.

Saya akan cuba mengulaskan isu ini seberapa baik yang mungkin tanpa “biased” atau cenderung kepada mana-mana pihak.

Pertama sekali, saya pasti kerajaan negeri mempunyai justifikasi terhadap kaedah permohonan yang mereka tentukan.

Kedua, saya amat faham akan kerisauan dan komen-komen yang dizahirkan oleh rakyat marhaen mengenai isu bantuan tunai ini.

Seterusnya, ulasan saya berkaitan kaedah permohonan melalui Wakil/Penyeleras yang telah dilantik oleh pusat saluran terlibat.

Daripada sudut positif, pertamanya kaedah ini dapat meminimakan isu pertindihan permohonan dan juga penyalahgunaan sistem permohonan secara dalam talian. Ini kerana, sejak BPN diumumkan oleh YAB Perdana Menteri pada Mac yang lalu, kita dapat lihat terdapat beberapa kes penyalahgunaan sistem permohonan berlaku.

Sebagai contoh, beberapa orang figura politik dan ahli perniagaan (yang jelas tidak layak untuk mohon bantuan) mengambil kesempatan untuk memohon BPN. Pekara itu amatlah merisaukan dan boleh meyebabkan sistem permohonan menjadi kurang efisien.

Yang kedua, kaedah ini mampu memastikan pelaksanaan bantuan ini terus ke akar umbi kerana Wakil/Penyeleras yang dilantik itu majoriti merupakan pemimpin masyarakat dan sudah semestinya mereka lebih faham senario setempat.

Mereka lebih arif dan kenal siapakah dalam kalangan masyarakat di kawasan mereka yang betul-betul tercicir daripada sebarang bantuan, sama ada BPN, BSH mahupun bantuan makanan asas.

Kaedah ini akan memastikan golongan tercicir adalah pada peratusan yang paling rendah. Jika dibandingkan dengan negeri lain, setakat ini hanya kerajaan negeri Johor yang memilih kaedah ini kerana mereka yakin dengan pendekatan “Terus kepada rakyat” atau “Straight to the people”.

Bagaimana pula daripada pandangan negatif? Antara komen yang paling banyak diutarakan oleh rakyat marhaen adalah mereka khuatir Wakil/Penyelaras yang dilantik akan pilih kasih dan bagi pada kroni sahaja.

Pandangan dan kerisauan mereka ini pada saya adalah berasas dan logik. Kita tidak boleh menafikan bahawa kebarangkalian untuk pekara seperti itu akan berlaku.

Bagaimanapun, difahamkan dan mengikut soalan lazim yang dikeluarkan pihak berkenaan, bukan Wakil/Penyelaras yang memilih siapa yang layak atau tidak, tugas mereka hanya membantu memudahcara pemohon.

Justeru, melihat kepada pandangan positif dan negatif itu, saya ingin mencadangkan beberapa perkara yang boleh diambil perhatian Pejabat Perbendaharaan Negeri Johor selaku pelaksana dasar ini :

1. Perlu memastikan Wakil/Penyelaras yang dilantik adalah dalam kalangan mereka yang dipercayai oleh masyarakat setempat dan tidak mempunyai masalah integriti dan etika.

2. Pejabat Perbendaharaan Negeri Johor perlu mengumumkan secara rasmi siapakah Wakil/Penyelaras yang telah dilantik oleh pusat saluran sekali gus ia dapat mengelakkan kes penipuan atau pihak yang cuba menyamar sebagai Wakil/Penyelaras dalam proses memohon bantuan ini, sertakan sekali nama dan nombor telefon mereka yang boleh dihubungi.

3. Perbendaharaan Negeri Johor juga perlu mewujudkan satu talian khas atau medium yang boleh dihubungi oleh rakyat negeri Johor untuk membuat sebarang aduan atau persoalan berkaitan bantuan tunai itu.

Kesimpulannya, bagi menjawab persoalan penulisan saya kali ini, iaitu Bantuan Tunai Ihsan Johor: Antara Beban dan Tanggungjawab, saya berpendapat tiga pihak utama harus memainkan peranan, pentadbiran kerajaan negeri, Wakil/Penyelaras yang dilantik dan semestinya rakyat negeri Johor.

Pentadbiran Kerajaan Negeri, memantau dan memastikan segala peringkat pelaksanaan berjalan dengan lancar.

Wakil/Penyeleras yang dilantik, menjalankan tugas dengan amanah, integriti dan telus sekali gus mengelak daripada pilih kasih dan sifat tidak jujur.

Kepada rakyat negeri Johor pula, mereka juga perlu jujur dalam menilai sama ada mereka layak memohon atau tidak. Pada masa sama, bersuaralah jika ada rasa tidak puas hati mengenai pelaksanaan bantuan itu kerana saya yakin YAB Menteri Besar akan mengambil maklum perkara dibangkitkan.

Justeru, saya percaya sekiranya ketiga-tiga pihak itu melaksanakan peranan masing-masing dengan baik, maka bantuan tunai yang dilaksanakan kerajaan negeri Johor akan berjaya mencapai objektifnya.

— MADYASIR AHMAD BASIR
Ahli Parlimen Belia Malaysia (Johor 03)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast