Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Semua penumpang pesawat AirAsia dikehendaki membawa penutup mulut dan hidung sendiri dan memakainya dengan cara yang betul sebelum, semasa dan selepas penerbangan.

Pemakaian penutup hidung dan mulut itu juga perlu semasa penumpang  mendaftar masuk dan pengambilan bagasi.

Tetamu tanpa penutup hidung dan mulut tidak dibenarkan menaiki pesawat, kata AirAsia yang memperkenalkan langkah-langkah yang perlu dilakukan oleh penumpang untuk meminimumkan risiko semasa berada dalam kapal terbang.

Selain itu, syarikat penerbangan tersebut juga membenarkan hanua satu bagasi kabin yang tidak melebihi 7kg bagi setiap tetamu.

Langkah ini untuk memastikan penjarakkan sosial terutamanya semasa proses menaiki dan turun dari pesawat dan mengurangkan kontak antara bagasi penumpang dengan penumpang yang lain.

”Pemeriksaan suhu juga akan dilakukan di beberapa lokasi, termasuk di balai berlepas. Semua kru kabin akan menjalani pemeriksaan suhu selepas setiap syif.

”Tidak perlu dipertikaikan lagi bahawa penjarakkan sosial diperlukan dan akan diamalkan dengan lantai ditanda di kawasan beratur, termasuk di kaunter daftar masuk dan kiosk. Kaunter daftar masuk secara selang-seli pula akan dibuka untuk memastikan penjarakan sosial.

”Anda juga tidak perlu risau apabila anda berada dalam penerbangan kerana semua kru kabin akan menggunakan alat pelindung termasuk topeng muka dan sarung tangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tambahnya, semua hidangan dalam penerbangan disediakan dan dibungkus dengan bersih mengikut piawaian keselamatan makanan yang ketat.

Kakitangan yang mengendalikan hidangan dalam penerbangan juga dipantau secara berkala mengikut garis panduan Covid-19 dan semua kru kabin yang mengendalikan makanan hendaklah memakai sarung tangan.

AirAsia juga memaklumkan semua kru kabin telah dilatih untuk mengendalikan apa jua situasi perubatan ketika dalam penerbangan termasuk mengenal pasti dan mengasingkan sesiapa yang menunjukkan gejala kurang sihat.

Para penumpang juga perlu mengisi borang pengisytiharan kesihatan sebelum atau semasa ketibaan.

“Kami menasihatkan semua tetamu untuk menyemak kelayakan melakukan perjalanan sebelum menempah penerbangan anda,” ujarnya.

Inilah norma baharu untuk semua, terutamanya apabila melakukan perjalanan menerusi penerbangan kerana keselamatan adalah komponen paling penting dalam industri penerbangan.

Katanya, AirAsia akan berusaha untuk memastikan semua kriteria dalam aspek kesihatan dan keselamatan mencapai piawaian demi semua kakitangan dan para penumpangnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast