KUALA LUMPUR – Majlis Peguam Malaysia mendakwa prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) terlalu ketat hingga menyukarkan keupayaan firma-firma perundangan di negara ini untuk memulakan operasi.
Presidennya, Salim Bashir berkata, pihaknya mengakui alasan dan tujuan rasional pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam memerangi Covid-19, namun firma-firma perundangan perlu dibenarkan beroperasi.
“Ketika kita menuju ke akhir fasa ketiga dan memasuki fasa keempat PKP, tekanan ekonomi dan sistem perdagangan nasional kita semakin meningkat hingga hadnya.
”Cabaran serta kemusnahan ekonomi dan kewangan yang belum pernah terjadi sebelumnya akibat Covid 19 diakui akan terus memberi bayangan kepada negara tentang masa depan yang sudah diramalkan.
“Memandangkan Majlis Peguam Malaysian adalah penyedia profesion perundangan, kami mahu industri perkhidmatan undang-undang ini memainkan peranan penting dalam ekosistem ekonomi dan undang-undang Malaysia memandangkan ia turut menyokong sektor-sektor perkhidmatan penting.
“Firma undang-undang terlibat secara langsung dalam memudah cara pelaburan langsung asing, perdagangan domestik, perbankan dan hal-hal komersial, yang menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar negara.
”Peguam dan firma guaman mesti diakui sebagai pembekal dalam penyampaian perkhidmatan penting,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan memaklumkan firma-firma guaman yang terletak di zon hijau akan dibenarkan beroperasi semasa PKP.
Tambah beliau, peguam-peguam menyediakan wakil undang-undang dalam sistem keadilan jenayah dan mereka juga terlibat menyelesaikan perselisihan komersial dan awam melalui mahkamah.
Peranan firma guaman juga sama pentingnya kerana ia menyumbang kepada aspek luas ekosistem perundangan dan ekonomi Malaysia.
Sambil menyatakan kebimbangan jika keadaan berlanjutan, Salim mengingatkan bahawa kedudukan ekonomi firma-firma guaman akan terganggu dan akan ada prasangka yang sangat nyata, akibat dan kesan buruk terhadap pemulihan ekonomi Malaysia.
“Jika tidak ada penyesuaian yang dibuat, maka akan ada risiko nyata bagi puluhan ribu pekerjaan yang menjadi sebahagian besar kakitangan firma guaman dalam sektor perkhidmatan undang-undang.
”Oleh itu, Majlis Peguam Malaysia meminta kerajaan supaya memberikan kelonggaran kepada firma-firma guaman untuk beroperasi semasa tempoh PKP,” ujarnya.
Salim menegaskan profesion perundangan memainkan peranan penting dan tidak boleh digantikan dalam ekonomi ketika kerajaan membenarkan sektor harta tanah dan perbankan serta operasi yang meliputi kontrak dan transaksi, pasaran modal, pemulihan hutang, kebangkrapan dan perlindungan harta intelek beroperasi semula.
Lantaran itu, katanya, membenarkan firma-firma guaman beroperasi akan lebih bermakna jika agensi-afensi lain turut dibenarkan beroperasi.
Agensi-agensi berkenaan ialah Pejabat Tanah, pesuruhjaya sumpah, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan pelbagai pihak berkuasa tempatan.
“Kami akui sejak Covid-19, profesion perundangan modus operandi sudah tidak lagi sama seperti sebelumnya, justeru, kami harus bekerjasama dengan kerajaan untuk menghasilkan SOP yang menepati syarat dan panduan Kementerian Kesihatan, yang praktikal dan menjimatkan kos.
”Untuk tujuan ini, Majlis Peguam telah menghubungi MITI dan pihak berkuasa lain yang relevan dalam usaha kami untuk mengemukakan perkara, yang mana syarat sekarang terlalu ketat,” katanya. – MalaysiaGazette