Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah. foto HAZROL ZAINAL, 01 APRIL 2020.

PUTRAJAYA – Jumlah keseluruhan kematian akibat Covid-19 mencecah 100 hari ini dengan pertambahan satu kes, manakala sebanyak 31 kes positif baharu dilaporkan setakat pukul 12 tengahari hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah kes positif virus pandemik setakat ini adalah sebanyak 5,851 kes.

Katanya, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,719 kes dan mereka telah diasingkan dan diberikan rawatan.

“Sehingga kini, seramai 36 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu 17 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Malah terdapat 75 kes terbaharu yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini sekaligus menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 4,032 kes iaitu dengan kadar discaj 68.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya pada sidang media harian Covid 19 di Kementerian Kesihatan Malaysia hari ini.

Mengulas mengenai kes kematian hari ini, Noor Hisham berkata,  ia merupakan kes 3628 iaitu lelaki warganegara Malaysia berumur 67 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung da strok.

“Beliau telah dirawat di Hospital Sungai Buloh pada 4 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 28 April 2020 jam 9.40 pagi,” katanya. – MalaysiaGazette