Kereta beratur panjang di sebuah restoran makanan segera di Christchurch, New Zealand, selepas sekatan perjalanan dilonggarkan. foto Agensi

WELLINGTON – Rakyat New Zealand beratur untuk membeli burger, kentang goreng dan kopi secara ‘pandu lalu’ selepas sekatan perjalanan selama sebulan yang dilaksanakan di negara ini ditarik balik.

Kira-kira 400,000 orang pekerja kembali bekerja selepas Perdana Menteri, Jacinda Ardern membenarkan perniagaan yang ditututo sejak beberapa minggu lalu dibuka semula.

”Sukar untuk menggambarkan betapa sedap rasanya,” kata Christopher Bishop sambil menunjukkan air kopi yang dibelinya.

“Kami dapat membeli Quarter Pounders, Big Macs, minuman … Saya masih mempunyai dua burger keju lagi, saya tidak dapat menghabiskannya,” tambah Tai Perez, yang membeli makanan tersebut di McDonald’s di Auckland.

Seramai 5 juta penduduk New Zealand dikenakan sekatan perjalanan paling tegas di dunia dalam membendung wabak Covid-19 sejak 26 Mac lalu.

Langkah tegas New Zealand berbaloi apabila hanya 1,122 kes jangkitan koronavirus disahkan termasuk 19 kematian – kes paling rendah di dunia.

“Kami dengan yakin untuk menyatakan bahawa tiada jangkitan komuniti di New Zealand. Cabaran sekarang adalah untuk mengekalkannya,” kata Ardern.

Bagaimanapun, terdapat perbahasan dalam kalangan pegawai dan akademik mengenai terminologi yang harus digunakan untuk status New Zealand berhubung penyebaran koronavirus yang mengatakan “penghapusan” tidak akan memungkinkan sejumlah kecil kes berulang.

Ini kerana, New Zealand melaporkan lima kes baru dan satu kematian semalam.

“Apabila saya menyatakan penghapusan itu tidak bermaksud kes sifar, ini bermaksud toleransi sifar untuk kes,” kata Ardern.

New Zealand masih mengekalkan penjarakkan sosal meskipun pusat membeli-belah, pendandan rambut dan kawasan membeli-belah awam yang lain masih ditutup sekurang-kurangnya dua minggu lagi.

Siouxsie Wiles, ahli mikrobiologi dan profesor bersekutu di University of Auckland, adalah antara mereka yang memberi amaran bahawa virus itu boleh kembali jika langkah-langkah sekatan dilonggarkan dengan cepat. – MalaysiaGazette