Kementerian Belia dan Sukan

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memberi tumpuan kepada pelajar Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) yang terkandas di rumah sewa, rumah saudara atau tempat kerja untuk dibawa pulang ke kampung masing-masing secara berperingkat mulai 4 Mei ini.

Menurut kenyataan KBS, pergerakan itu tertakluk kepada status zon semasa pergerakan dan zon yang hendak dituju oleh pelajar.

“Pihak KBS ingin menasihatkan pelajar yang masih terkandas supaya menghubungi atau melapor diri ke ILKBS yang berhampiran penempatan semasa mereka.

“Ia bertujuan bagi bagi membolehkan pihak ILKBS menguruskan penginapan dan makan minum sehingga pergerakan pulang pelajar diuruskan,” kata KBS.

Tambahnya kenyataan itu, memandangkan tiada sesi pengajian dilaksanakan sepanjang tempoh perintah Kawalan Pergerakan (PKP), KBS telah menyediakan penjadualan semula kemasukan 7,722 pelajar secara berperingkat pada Jun dan Julai ini.

Menurut kementerian itu, ia bertujuan meminimakan jumlah pelajar di dalam kampus serta mengekalkan penjarakan sosialĀ  seperti yang disarankan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19.

“Peringkat pertama kemasukan pelajar pada Jun 2020 akan melibatkan 671 orang pelajar semester akhir program Diploma dan sebahagian program SKM yang sepatutnya tamat pada April 2020 serta pelajar yang tertangguh menjalani latihan industri (LI).

“Pelajar kategori ini akan menyambung semula pembelajaran untuk melengkapkan pengajian dengan menjalani Peperiksaan Akhir yang dijadualkan pada Julai 2020.

“Peringkat kedua kemasukan pada Julai 2020 pula akan melibatkan pelajar seramai 7,051 orang yang terdiri daripada pelajar program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) semester akhir serta pelajar naik tahap yang akan menyambung pembelajaran selama 8 minggu dan menjalani Peperiksaan Akhir pada Oktober 2020 sebelum melengkapkan pengajian,” ujarnya.

Sementara itu, KBS berkata, pembayaran elaun bulanan pelajar ILKBS tetap diteruskan sepanjang tempoh PKP dengan pembayarannya dipercepatkan pada bulan Mac ini manakala pelajar program SKM 1 hingga 3 tidak lagi diwajibkan menjalani LI bagi tahun 2020. – MalaysiaGazette