Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA – Terdapat pertambahan 94 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada pertambahan itu sebanyak 72 kes adalah kes import melibatkan warganegara dan pelajar Malaysia yang pulang daripada Indonesia.

Katanya, ini bermakna, kes penularan tempatan wabak berkenaan adalah sebanyak 22 kes sahaja.

“Sehingga kini, sebanyak 40 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, 18 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada sidang media harian Covid-19 hari ini.

Noor Hisham berkata, daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan tiada pertambahan kes kematian berkaitan wabak itu.

Justeru katanya, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia kekal sebanyak 100 kes iaitu 1.68 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.