Gambar hiasan

SEMPENA sambutan Hari Pekerja esok dalam suasana ancaman wabak Covid-19, marilah sama-sama kita meneroka budaya kerja baru yang mula mencengkam dunia pekerjaan di seantero dunia termasuklah di negara kita iaitu, budaya bekerja dari rumah. Walaupun budaya bekerja dari rumah bukanlah perkara baru dalam kalangan masyarakat antarabangsa terutamanya di negara maju, namun ianya masih dilihat sebagai sesuatu yang “tidak biasa” di negara kita.

Secara ringkasnya masih ramai yang dilihat belum bersedia dengan kebiasaan baharu ini atau belum menjadi budaya di negara kita. Justeru pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) rentetan daripada ancaman wabak Covid-19 mula membuka mata semua pihak betapa sudah sampai masanya untuk kita juga meneroka secara serius budaya bekerja dari rumah ini.

Untuk rekod sebelum ini Kementerian Kerja Raya pernah memulakan program perintis bekerja dari rumah membabitkan kakitangan yang berkhidmat di kementerian itu terutama mereka yang bertugas sebagai Penolong Juruukur Bahan, Pelukis Pelan dan Juruteknik di Jabatan Kerja Raya dengan tempoh percubaan
selama tiga bulan. Jadi penjawat awam pernah terdedah dengan budaya ini cuma tiada kesinambungan dan pelaksanaannya juga tidak menyeluruh. Ironinya bila bercakap tentang kebiasaan baharu ini, sektor awam selalunya dilihat sebagai pemain utama yang berpeluang cerah untuk melaksanakannya.

Oleh sebab itulah dalam tempoh PKP ini, pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan segera mengeluarkan Surat Edaran Bekerja Dari Rumah Berikutan PKP dan Penutupan Premis Kerajaan bertarikh 17 Mac lalu. Malah JPA juga telah  memperincikan kaedah pelaksanaan budaya kerja ini dengan menyediakan panduan kepada penjawat awam melalui Soalan Lazim (FAQ) supaya anggota perkhidmatan awam lebih jelas dan memahami konsep baharu ini.

Di samping itu, oleh kerana PKP ini turut membabitkan semua perkhidmatan dan organisasi, maka sektor korporat dan swasta juga terikat dengan arahan penutupan premis masing-masing. Maka mereka juga mula meneroka keperluan untuk kakitangan mengamalkan budaya bekerja dari rumah. Sebenarnya hal ini lebih signifikan kepada sektor korporat kerana mereka adalah entiti perniagaan yang mana penutupan operasi pasti menjejaskan pendapatan syarikat. Justeru untuk elak dari
terus menanggung kerugian, mereka tidak mempunyai banyak pilihan selain meminta kakitangan bekerja dari rumah supaya jika tidak untung sekalipun, kerugian dapat diminimumkan. Malah kakitangan swasta juga pastinya bergembira dengan budaya kerja baharu ini kerana dengan adanya pilihan bekerja dari rumah, kemungkinan untuk mereka hilang pekerjaan dapat dikurangkan.

Hakikatnya baik sektor awam mahupun swasta wajar mengambil peluang ini untuk meneliti secara serius bagi memperkenalkan skim bekerja dari rumah sebagai pilihan baru kepada kakitangan masing-masing. Hal ini kerana kita dapat lihat banyak kelebihan jika dapat melaksanakan budaya baharu ini baik di pihak majikan mahupun kepada kakitangan.

Antara kelebihan kepada majikan ialah, ia akan dapat mengurangkan kos operasi seperti sewa pejabat, bangunan,  tempat letak kereta, bil utiliti dan penyelenggaraan. Kita perlu akui ini adalah antara kos yang sentiasa menghantui para majikan. Misalnya, bagi sektor awam yang tidak berpaksikan perniagaan dan keuntungan, sudah semestinya kos seperti ini akan menjejaskan bajet tahunan yang sepatutnya boleh disalurkan untuk pelbagai projek atau program kebajikan rakyat. Malah sektor swasta yang begitu mementingkan keuntungan pula, sudah semestinya mahu menjalankan operasi syarikat pada kos yang paling minimum dan keuntungkan yang paling maksimum. Jadi penjimatan yang besar melalui kos wajib seperti ini pasti melegakan majikan.

Pada masa yang sama kita perlu akui bekerja dari rumah kebiasaannya akan memerlukan peningkatan dalam penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi seperti internet kerana kita bekerja secara maya. Maka bila mana pekerja semakin mahir menggunakan teknologi, antara kesan langsung ialah dapat menjimatkan masa kerana sesuatu tugasan itu dapat dilaksanakan dengan segera, lantas produktiviti kakitangan dan organisasi akan meningkat naik berlipat ganda. Bukankah
ini akan menguntungkan semua pihak termasuklah rakyat yang boleh menikmati sesuatu perkhidmatan itu dengan lebih cepat dan efisien.

Bagi golongan pekerja pula, antara kelebihan bekerja dari rumah ialah sudah semestinya dapat mengurangkan perbelanjaan terutamanya membabitkan kos pengangkutan sama ada kos pengangkutan awam atau kenderaan sendiri seperti kos
petrol, tol dan parkir. Di samping itu, budaya kerja yang lebih fleksibel ini membolehkan kakitangan meluangkan masa yang lebih berkualiti di rumah bersama kaum keluarga serta dapat mengurangkan tekanan di tempat kerja.

Namun dalam kita meraikan budaya kebiasaan baharu ini, jangan lupa kekangan dan cabaran yang akan menyusul bila melaksanakan konsep bekerja dari rumah. Antara cabaran yang dihadapi oleh majikan ialah perlu memastikan integriti, amanah dan tanggungjawab kakitangan yang bertugas di rumah dapat dijaga dan dipantau dengan baik dan secara sistematik. Di samping itu perlu ada penetapan sasaran yang jelas melalui mekanisme yang efisien supaya kita dapat mengukur kuantiti dan kualiti kerja kakitangan yang melambangkan produktiviti dan keberhasilan mereka.

Secara prinsipnya, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Kalau sebelum ini bekerja dari rumah dianggap sesuatu yang sukar, tidak mungkin dapat dilakukan atau dianggap bukan budaya kerja di negara ini, sepanjang PKP ini kita dapat
membuktikan ianya tidak mustahil. Justeru bersempena Hari Pekerja ini, marilah dengan lapang dada kita terima hakikat betapa bekerja dari rumah bukan lagi satu pilihan sebaliknya inilah budaya kerja masa hadapan dan kita perlu bersedia untuk
melazimi kebiasaan baharu ini.

Selamat menyambut Hari Pekerja 2020.

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED

 

Oleh: Noor Mohamad Shakil Hameed
Timbalan Pengarah 
Pejabat Strategi Korporat Dan Komunikasi, UPM