Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran membenarkan operasi pusat jagaan kanak-kanak (taska) dibuka secara berperingkat mengikut zon.

Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, hanya zon yang telah pulih dan bebas pandemik sahaja dibenarkan beroperasi sepenuhnya.

“Penutupan taska sememangnya menyukarkan golongan ibu bapa yang bekerja.

“Oleh itu, pengoperasian semula taska perlu dilaksanakan secara terkawal untuk mengelakkan mereka terdedah dengan pandemik ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dominic berkata, biarpun operasi semula taska berisiko kepada bayi dan kanak-kanak, namun ia boleh dilaksanakan secara berperingkat dan praktikal dengan kaedah yang berkesan di semua premis taska.

Bagi zon-zon lain, ia boleh dibenarkan beroperasi dalam mod minimum serta mengenakan ketetapan seperti menghadkan masa, sesi kelas dan jumlah penjagaan kanak-kanak dalam taska.

Ujarnya, kaedah seperti itu jika dilakukan secara tidak langsung dapat mengelak aktiviti berkumpulan dengan tidak sengaja.

Katanya lagi, beberapa langkah kawalan juga perlu dilaksanakan untuk mengelak kanak-kanak terdedah dengan wabak seperti ibu bapa yang berada di zon merah tidak boleh menghantar anak ke taska di Zon Hijau.

Larangan ini perlu dikuatkuasakan untuk mengelakkan pertambahan kluster, katanya.

Dalam perkembangan sama Dominic berkata, kerajaan harus mengeluarkan satu garis panduan keselamatan agar semua taska dalam negara mematuhinya.

“Taklimat khas berkenaan prosedur operasi standard pengoperasian semula taska perlu dilaksanakan supaya mereka kerap mengamalkan langkah pencegahan yang selamat di premis mereka,” ujarnya. – MalaysiaGazette