Adnan Mat

PUTRAJAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta ketua jabatan di setiap kementerian mengenalpasti bidang tugas utama yang benar-benar memerlukan kakitangan bertugas di pejabat semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Presidennya Adnan Mat berkata, langkah itu akan memastikan para kakitangan awam di bahagian yang berkait rapat urusan perniagaan dan kepentingan rakyat sahaja akan bekerja di pejabat, sekaligus mengelak lambakan kakitangan yang ramai dan tidak penting di setiap kementerian bermula 4 Mei ini.

Katanya, beliau sedia maklum bahawa pembukaan semula hampir semua sektor ekonomi secara menyeluruh Isnun ini, termasuk penjawat awam yang akan kembali ke pejabat untuk bekerja seperti biasa.

“Bagaimanapun, memandangkan adanya PKPB, peraturan Kementerian Kesihatan dan penjarakan sosial, maka adalah saya ingin menasihatkan setiap ketua jabatan di semua kementerian dan agensi kerajaan supaya kenalpasti bidang tugas atau ‘Core business’ berkait rapat kepentingan rakyat yang benar-benar memerlukan kakitangan itu di pejabat setiap hari.

“Ini akan mengelak kakitangan atau pekerja yang berurusan dalam bahagian yang tidak begitu penting di sesebuah jabatan boleh dibenarkan bekerja dari rumah tanpa ke pejabat, sekaligus mengelak kebanjiran pekerja beramai-ramai di sesebuah jabatan di kementerian dalam tempoh penting pemulihan pandemik Covid-19 .

“Kita masih wajib mematuhi SOP yang ditetapkan kesihatan serta penjarakkan sosial semasa berada di pejabat menerusi PKPB seperti ditegaskan perdana menteri (Muhyiddin Yassin) kita,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata demikian selepas hadir menyampaikan Anugerah Tokoh Hari Pekerja 2020 kepada Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin di Jabatan Perangkaan dalam majlis serba ringkas petang tadi.

Malahan beliau juga mahu ketua jabatan memastikan jadual waktu memasuki pejabat dianjakkan supaya kemasukan pekerja secara bergilir pada waktu berbeza mengurangkan gelombang kehadiran dalam jumlah yang besar pada satu masa.

“Maknanya selepas 4 Mei nanti, mereka boleh memasuki pejabat mengikut waktu anjakan penjadualan dan ini perlu dipastikan oleh ketua jabatan supaya tidak ada kumpulan pekerja terbesar di sesebuah jabatan dan penjarakkan sosial dapat di laksanakan dengan selamat,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau mencadangkan ketua jabatan dalam kementerian supaya berhubung dan mendapatkan khidmat tadika swasta sebagai sokongan kepada Taska.

Katanya, ia akan membantu ibu bapa yang bekerja sebagai penjawat awam membiarkan anak-anak mereka di sana dengan segala kemudahan kesihatan dan keselamatan.

“Kalau boleh letakkan seseorang yang boleh pantau kesihatan anak anak iaitu dari segi bacaan suhu badan anak anak atau mengenalpasti simptom yang ada seperti demam, ini perlu ada.

“Tadika swasta akan membolehkan penjawat awam tidak perlu merisaukan mengenai kesihatan dan keselamatan anak dan boleh pergi dan balik dari kerja dengan hati yang senang.

“Pada ketika ini semua tertekan sebab ada dalam kalangann kita yang berkhidmat di barisan hadapan iaitu suami isteri di barisan hadapan tetapi pening untuk meletakkan anak di bawah jagaan siapa ketika ini.

“Lagipun anak yang tak dapat jumpa ibu bapa selepas dilepaskan di rumah asuhan atau jiran tanpa penjagaan betul, maka perlu ada satu taska yang berkesan dilengkapi kemudahan kesihatan dan keselamatan supaya tidak wujud kerisauan,” katanya. – MalaysiaGazette