Bundesliga Jerman
Bundesliga Jerman

BERLIN – Tiga pemain yang disahkan positif Covid-19 di Cologne akan dikuarantin selama 14 hari.

Dalam satu kenyataan kelab Bundesliga memaklumkan, apa yang dialami oleh ketiga-tiga pemain itu menghampakan untuk liga Jerman kembali bersambung bulan ini.

“Cologne melakukan ujian Covid-19 ke atas seluruh pasukan dan barisan jurulatih serta kakitangan kelab. Tiga didapati positif tetapi tidak menunjukkan gejala.

“Selepas penilaian kes itu oleh pihak kesihatan, ketiga-tiga yang positif itu akan dikuarantin di rumah masing-masing selama 14 hari.

“Cologne tidak akan mendedahkan sebarang nama bagi menghormati hak peribadi mereka yang terbabit,” demikian menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun Kelab tersebut tetap akan meneruskan latihan sebagai persediaan bagi menghadapi kempen yang bakal bersambung.

Malah, ujian tetap akan terus dilakukan sebagai protokol kesihatan dan keselamatan.

Kelab Bundesliga mensasarkan 9 Mei sebagai tarikh untuk kembali meneruskan saingan.

Namun, kelab itu masih lagi menanti kebenaran daripada pihak kerajaan sama ada dapat meneruskan atau sebaliknya.

Kelewatan keputusan yang sepatutnya diumumkan minggu ini bermakna liga tidak boleh disambung sebelum 16 Mei. – MalaysiaGazette