Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat (CPRC) Kebangsaan hari ini memaklumkan bahawa kes jangkitan wabak Covid-19 di Pulau Pinang semakin menghampiri kes sifar.-Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat (CPRC) Kebangsaan hari ini memaklumkan bahawa kes aktif jangkitan wabak Covid-19 di Pulau Pinang semakin menghampiri angka sifar.

Menurut data CPRC, Pulau Pinang kini hanya mempunyai dua kes aktif masing-masing satu kes di daerah Seberang Perai Tengah dan Barat Daya.

Tiga lagi daerah di negeri itu kini dikategorikan sebagai zon hijau iaitu di daerah Timur Laut, Seberang Perai Selatan dan Seberang Perai Utara.

Sekiranya Pulau Pinang mencatatkan sifar kes aktif, ia akan menjadi negeri keempat bersih Covid-19 selepas Kelantan, Perak dan Kedah.

Di belakang Pulau Pinang adalah Negeri Sembilan yang masih mencatatkan kes aktif Covid-19 dengan 37 kes.

Daerah Seremban masih mencatatkan kes aktif kebolehjangkitan Covid-19 tertinggi di negeri itu dengan 31 kes, Rembau 4 kes, dan Jempol 2 kes.

Terengganu pula mencatatkan 33 kes aktif bagaimanapun jumlah zon hijau hanya dicatatkan di dua daerah iaitu Marang dah Hulu Terengganu.

Daerah Dungun masih mencatatkan 12 kes, Besut dengan 11 kes, Setiu 4, Kuala Nerus 3 kes dan Kemaman 2 serta satu kes di Kuala Terengganu.

Negeri Pahang masih mencatatkan 49 kes dengan empat daerah masih dikategorikan sebagai zon kuning.

Daerah Kuantan masih mencatatkan kes tertinggi di negeri itu dengan 28 kes, diikuti dengan Jerantut 18 kes, dua kes di Bera, dan satu kes di daerah Bentong.

Infografik CPRC hari ini menunjukkan 58 daerah masih terletak dalam senarai zon kuning.

Zon kuning ialah daerah yang merekodkan kurang 40 kes aktif, manakala zon merah mencatatkan lebih 40 kes positif Covid-19.

Sementara itu zon merah aktif kini hanya meliputi 8 daerah sehingga Jumaat.

Tertinggi masih di Lembah Pantai dengan 250 kes aktif kebolehjangkitan Covid-19 diikuti dengan Kuching, 143 kes.

Kepong pula mencatatkan pengurangan 8 kes dengan jumlah terkini 84 kes, bagaimanapun di Titiwangsa, kes aktif meningkat 19 kes kepada 74 kes berbanding hanya 55 kes pada Khamis.

Daerah Kluang, Johor menurun kepada 70 kes aktif, Kota Samarahan 54 kes, Hulu Langat 50 kes dan Johor Bahru, 46 kes.

Sebanyak 103 kematian dan 6,071 kes positif Covid-19 direkodkan di seluruh negara setakat ini, dengan 4,210 pesakit sudah pulih, manakala 1,758 masih menerima rawatan. -MalaysiaGazette