Datuk Nurul Hidayah Ahmad Zahid dan suaminya Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff.

KUALA LUMPUR – Datuk Nurul Hidayah Ahmad Zahid dan suaminya Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff akan dituduh di mahkamah dalam masa terdekat atas dakwaan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ibupejabat Polis Bukit Aman dalam satu kenyataan media malam ini mengesahkan pihak Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman telah mendapat arahan untuk menuduh kedua-dua mereka di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No3) 2020.

Pengarah JSJ Bukit Aman, Komisioner Datuk Huzir Mohamed berkata, kertas siasatan polis telah dibuka ke atas mereka keterangan telah diambil daripada kedua-dua individu tersebut pada 24 April lalu di Bukit Aman.

“Kertas siasatan telah dirujuk ke pejabat Peguam Negara dan telah mendapat arahan untuk menuduh kedua-dua mereka di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No3) 2020.

“Pertuduhan akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Terdahulu, tambah Huzir, polis telah membuka satu kertas siasatan menerusi Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) JSJ Bukit Aman mengenai dakwaan perlanggaran PKP oleh Nurul Hidayah yang merupakan anak Presiden UMO dan juga suaminya, Saiful Nizam.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati Nurul Hidayah telah memuat naik gambar di ruang Instagram peribadinya dengan kapsyen “Selepas selesai dengan Menteri Hal Ehwal Agama, Kami ke kementerian Alam Sekitar untuk berjumpa Datuk Masrizal, Timbalan Menteri.. Bertukar-tukar pendapat dan cadangan adalah cara saya dan Datuk Dr. Masrizal ejak dahulu menjadi Setiausaha Politik kepada Abah@Ahmad ZahidHamidi tidak berapa lama dahulu.A dear Friend to our Family”.

“Kes telah disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa dan peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No3) 2020 kerana melakukan pergerakan tanpa kebenaran,” ujarnya.

Beliau sementara itu, menasihatkan orang ramai agar tidak cuba menimbulkan kegusaran dan persepsi negatif seolah-olah polis tidak mengambil tindakan ke atas dakwaan perlanggaran ini.

“PDRM ingin menegaskan sekali lagi bahawa tiada sesiapapun yang akan terlepas dari sebarang tindakan sewajarnya sekiranya didapati dengan sengaja melanggar apa jua undang-undang negara,” tegas beliau.-MalaysiaGazette

Bukit Aman hari ini ambil keterangan Nurulhidayah

 

PKP: Kertas siasatan Nurul Hidayah dirujuk Jabatan Peguam Negara

1 Komen

Comments are closed.