Seorang pekerja kedai makan menyusun kerusi selepas kerajaan mengumumkan kebenaran untuk beberapa sektor perniagaan membuka kembali perniagaan mereka pada 4 Mei ini di Medan Selera Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 02 MEI 2020.

KUALA LUMPUR – Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang membenarkan sebahagian besar aktiviti ekonomi kembali beroperasi.

Ini termasuk perniagaan restoran yang akan membenarkan pelanggan makan di premis dengan syarat tertentu iaitu penjarakan meja sejauh satu meter, menyimpan nama dan nombor telefon pelanggan, menyediakan cecair nyah kuman, pemakaian topeng muka dan amalan kebersihan yang optimum.

Hasil tinjauan MalaysiaGazette mendapati meskipun rata-rata menyifatkan pengumuman tersebut sebagai khabar gembira namun mereka membuat keputusan untuk mengekalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) kerajaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu hanya membenarkan restoran menyediakan perkhidmatan bungkus sahaja.

Menjual Nasi Arab Mandi, Laksa dan Gulai Kawah di Cheras, Zainul Asri Ahmad SofianĀ  tidak akan mengubah cara jualan sebagai langkah pencegahan dan berjaga-jaga daripada penularan wabak Covid-19.

Meskipun angka jangkitan positif wabak itu merekodkan penurunan graf saban hari, namun peniaga berusia 47 tahun itu berkata, masa ini setiap pihak masih perlu saling berhati-hati.

Peniaga, Zainul Asri Ahmad Sofian, 47, mengacau gulai selepas kerajaan mengumumkan kebenaran untuk beberapa sektor perniagaan membuka kembali perniagaan mereka pada 4 Mei ini di Medan Selera Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 02 MEI 2020.

“Setakat ini kami ikut SOP yang kerajaan bagi sebelum ini, kekal jual untuk bungkus sahaja. Belum lagi mahu mulakan makan di kedai, kami ambil langkah berjaga-jaga sekarang,”katanya.

Meskipun buat pertama kali di bulan Ramadan kedai makannya tidak beroperasi seperti tahun-tahun sebelumnya, namun Zainul berkata, keuntungan tidak berkurang malah memberangsangkan apabila meningkat sehingga 200 peratus sepanjang tempoh PKP berkuatkuasa sejak 18 Mac yang lalu.

Sehubungan itu beliau tidak risau untuk tidak kembali beroperasi seperti sebelum ini dalam waktu penularan wabak masih berlaku.

Peniaga, Mohd Isa Mohd Hasan, 39, di Medan Selera Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 02 MEI 2020.

Begitu juga dengan Mohd Isa Mohd Hasan, 39, yang nekad mahu mengekalkan cara perniagaan laksanya dan nasi kukusnya dengan bungkus dan bawa balik sahaja.

Ujarnya, beliau konsisten dan tidak akan melayan sebarang permintaan pelanggan yang mahu makan di kedainya atas dasar keselamatan masing-masing.

“Kat sini memang terhad sebab kami hanya bagi (jual) untuk bungkus sahaja, pelanggan pun kalau kata menaangis air darah pun nak makan di kedai kita tidak bagi.

“Sebab untuk elak, sekarang ini bazar tidak ada orang memang tumpu beli makanan di foodcourt orang ramai, kalau ramai jarak nanti makin dekat. Kalau tidak berkumpul habislah. Kalau bungkus lepas beli pelanggan terus balik,” ujarnya.

Perkara yang sama juga akan dilakukan oleh Abdul Aziz Ibrahim, 40 pada Isnin ini, iaitu tidak akan menyediakan membenarkan pelanggan makan di kedainya.

Peniaga,Abdul Aziz Ibrahim, 40, di Medan Selera Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 02 MEI 2020.

Abdul Aziz berkata, membiarkan pelanggan silih berganti di premis memberi risiko kepada pelbagai pihak.

“Saya rasa selamat dan lebih baik bungkus sahaja. Pekerja pun tidak cukup untuk layan orang. Jadi kita jual bungkus sahaja,” jelas beliau.

Antara lain antara Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dalam membenarkan restoran kembali beroperasi adalah sentiasa memastikan pekerja sihat dengan membuat imbasan suhu setiap hari sebelum memulakan perniagaan termasuk merekodkan jumlah pelanggan setiap hari bagi memudahkan pengesanan kontak dilakukan.-MalaysiaGazette