Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed bercakap pada Sidang Media Bagi Pergerakan Antara Negeri Dalam Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 03 MEI 2020.

KUALA LUMPUR – Polis berjaya menahan seramai 28,992 individu atas kesalahan mengingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac hingga 2 Mei.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, daripada jumlah itu, seramai 5,312 orang dikenakan kompaun RM1,000 dan tidak dipenjarakan.

“Manakala, seramai 15,792 orang atau 54.4 peratus individu telah didakwa di mahkamah.

“Jika ikutkan pecahan bagi PKP bagi fasa pertama sehingga fasa ketiga 28 April lalu, polis telah menahan 27,061 individu dengan seramai 13,980 berjaya dituduh di mahkamah.

“Bagi bagi tempoh PKP fasa keempat pada 29 April hingga 2 Mei, seramai 1,987 orang ditahan dengan 1,812 orang telah dituduh di mahkamah,” katanya dalam sidang media taklimat Gerak Malaysia di Bukit Aman hari ini.

Huzir menambah, proses pendakwaan ke atas baki tahanan ingkar PKP akan diteruskan sehingga kertas siasatan selesai.

Diminta mengulas mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula esok beliau berkata: “Kita memang jangkakan berlaku kesesakan esok yang mana kebanyakan sektor ekonomi sudah boleh beroperasi di seluruh negara.

“Tetapi polis sudah bersedia untuk memantau perkara itu,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.