Foto hiasan

MUAR – Presiden Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia Singapura, Datuk Ho Su Mong menganggarkan lebih 70 peratus kedai kopi akan beroperasi mulai Isnin ini.

Beliau mengingatkan pengusaha supaya mematuhi garis panduan yang ditetapkan kerajaan demi keselamatan diri, pekerja dan pelanggan.

Katanya, pengusaha yang belum bersiap sedia dan tidak menyediakan semua kemudahan yang diwajibkan kerajaan harus menundakan tarikh pembukaan kedai.

Kerajaaan antaranya mengarahkan supaya meja dijarakkan dua meter, mengehadkan jumlah pelanggan dalam kedai, melakukan pembasmian kuman serta menyediakan hand sanitizer dan penutup mulut.

Mengenai catatan nama pelanggan, Su Mong berkata, ia bukan suatu proses yang terlalu rumit kerana pengusaha boleh menyediakan buku nota yang boleh diisi oleh pelanggan.

Beliau bagaimanapun tidak bersetuju supaya pengusaha menanggung kos rawatan sekiranya terdapat pekerja yang terjangkit COVID-19.

“Kami bukannya perusahaan yang bermodal besar dan kebanyakan kedai hanya menggaji seorang dua pekerja sahaja.

“Memandangkan kami telah mencarum Perkeso bagi pihak pekerja, maka kos rawatan harus ditanggung Perkeso,” katanya. – MalaysiaGazette