Dr. Jemilah Mahmood

KUALA LUMPUR – Pandemik Covid-19 yang telah meragut lebih 100 nyawa di Malaysia dijangka tidak berakhir dalam tempoh dua tahun akan datang.

Berikutan itu, rakyat Malaysia akan ‘hidup’ bersama dengan Covid-19 seperti mana kita berdepan dengan denggi sekarang ini.

Ini kerana, Penasihat Khas Kesihatan Awam kepada Perdana Menteri, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood berkata, vaksin untuk Covid-19 dijangka ada pada seawal tahun depan.

Beliau berkata, rakyat tidak perlu panik jika berlaku lonjakan kecil kes jangkitan itu kerana usaha menjejaki, kuarantin dan rawatan akan diteruskan.

”Kawasan yang menyaksikan peningkatan kes akan diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta-merta dan individu yang menetap di kawasan berkenaan akan dikuarantinkan,” katanya di sini.

PKP yang dijalankan bukan bertujuan untuk mengakhiri Covid-19 tetapi bertujuan untuk meratakan keluk jangkitan.

Tambahnya, sistem kesihatan negara termasuk bekalan ventilator juga mencukupi untuk menampung kes.

”Setakat ini, kapasiti yang digunakan hanya 30%,” katanya sambil menambah Kementerian Kesihatan juga sudah mula memberi kakitangan barisan hadapan cuti.

Namun, tegas Dr Jemilah, penguatkuasaan mesti diteruskan dalam kalangan komuniti untuk memastikan Malaysia menang dalam menangani Covid-19.

”Normal baharu adalah realiti, duduk di rumah selagi boleh. Pastikan penjarakan sosial dan sentiasa memakai penutup hidung dan mulut,” ujar beliau.

Beliau menambah, keadaan Malaysia sama sekali tidak sama dengan Hokkaido, Jepun kerana negara akan terus mengawasi sempadan yang merupakan aspek kritikal dalam memutuskan rantaian Covid-19. – MalaysiaGazette