Pengalaman seorang ibu yang terpaksa dilarang sentuh dan menyusu anak kerana dikuarantin diri disyaki Covid-19.

ONTARIO –  “Saya tidak dapat melihat, sentuh atau menyusukan anak saya yang baru dilahirkan untuk dua minggu selepas si kecil itu disyaki terkena jangkitan virus Covid-19.

“Bagaimanapun, selepas tempoh larangan itu saya akhirnya dibenarkan sentuh dan peluk anak saya bernama Paris yang mana perasaan ini tidak dapat diganti dengan kata-kata kerana ia lebih berharga berbanding menang Piala Dunia atau Sukan Olimpik”.

itu luahan hati bekas penjaga gol pasukan bola sepak wanita Kanada, Karina LeBlanc selepas beliau terpaksa menjauhkan diri daripada bayi perempuannnya sejurus selepas dilahirkan.

Kata wanita berusia 40 tahun itu, dia telah dimasukkan ke hospital selepas mengalami kesukaran bernafas seminggu selepas anaknya dilahirkan.

“Doktor maklumkan saya perlu kuarantin diri selama dua minggu dan tidak boleh sentuh anak saya kerana bayi itu disyaki dijangkiti virus Covid-19 semasa rawatan bersalin.

“Saya tak dapat lihat, pegang atau sentuh anak saya untuk lebih dua minggu.

“Bagi saya sebagai ibu itulah saat paling sukar yang pernah dilalui dalam kehidupan saya kerana selepas melahirkannya saya hanya mahu menyentuh dan merasainya namun dilarang,” kata LeBlanc kepada BBC World.

LeBlanc yang bersara daripada dunia bola sepak pada 2015 dengan 115 penampilan antarabangsa meluangkan masa beberapa hari di hospital selepas didiagnos paru-paru berair dan tekanan darah tinggi.

“Saya dikejarkan ke hospital akibat kesukaran bernafas, jari saya dipegang kuat oleh si kecil itu dalam ambulans dan denyutan jantung saya begitu pantas memikirkan nasib seterusnya,” katanya.

LeBlancs beraksi dalam lima Piala Dunia dan menang pingat gangsa Pada Sukan Olimpik 2012.

“Apabila anak saya diasingkan dalam rawatan kuarantin, saya hanya sempat merenung pada wajah si kecil itu menerusi kaca yang memisahkan saya dan dia.

“Saya rasa lebih 40 kali sehari saya melihat wajah dia (bayi) diiringi doa supaya dia sihat semula.

“Saya merasakan seolah dunia sudah gelap selepas saya isolasi diri manakala keadaan bayi saya dikuarantin secara ketat dan dipantau akibat Covid-19,” ujarnya. – MalaysiaGazette