Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sidang Dewan Rakyat bagi mesyuarat pertama penggal ketiga akan tetap diadakan sehari sahaja.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, kedudukan Ahli-ahli Parlimen juga akan dijarakkan bagi memenuhi keperluan penjarakan sosial yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Mengambil kira pendirian kerajaan bahawa sebarang bentuk perhimpunan ramai masih belum sesuai diadakan pada masa ini dalam rangka mengurangkan risiko jangkitan Covid-19, sidang Parlimen yang dijadualkan berlangsung hanya satu hari sahaja pada 18 Mei 2020 wajar dikekalkan.

“Susunan kedudukan Ahli-Ahli Parlimen di dalam Dewan Rakyat juga akan diubah suai untuk mengamalkan penjarakan sosial bagi menjamin semua ahli Dewan dapat mengambil bahagian dalam ruang lingkup Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, kerajaan dijangka mengemukakan beberapa Rang Undang-Undang baharu bagi membela rakyat dan juga peniaga-peniaga di negara ini.

“Kerajaan telah bersetuju mengemukakan beberapa Rang Undang-Undang yang berkaitan bagi dibentangkan dalam sidang Parlimen akan datang iaitu pada bulan Julai 2020,” kata Takiyuddin.

Pada penghujung bulan lalu, Pakatan Harapan (PH) membantah keputusan Parlimen yang menghadkan persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei sahaja.

Majis Presiden Pakattan Harapan yang diwakili Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu, dan Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang berkata, perbahasan dan perbincangan usaha Kerajaan membendung wabak Covid-19 wajib diberi tumpuan khusus Parlimen.

Malah ketiga-tiga pemimpin itu mencadangkan agar sidang Dewan Rakyat diadakan selama sekurang-kurangnya dua hari selain hari perasmian Parlimen bagi membolehkan perbahasan dan perbincangan yang lebih mendalam. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Bila sesuatu utk kepentingan rakyat akan terus dinafikan dgn berbagai alasan.
    Perbahasan mengenai budget dan kesengsaraan rakyat pasca pkp harus ada penelitian dan penyekesaian semua pihak. Itu tanggungjawab wakil yg telah dipilih rakyat. Logiknya cukup ke masa sehari je???
    Mcm kurang cerdik….

  2. Betulkah nak membela rakyat Sepanjang 22 bulan memerintah terbelakah rakyat?.

Comments are closed.