Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Keadilan mengambil tindakan memecat 348 ahli termasuk menggantung keahlian empat pemimpin parti itu kerana melanggar tata etika dan disiplin.

Pengarah Komunikasi Keadilan, Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dibuat selepas MPP bermesyuarat pada 21 Mac dan 26 April lalu, membincangkan serta meluluskan beberapa syor Lembaga Disiplin berkenaan tindakan terhadap sejumlah ahli dan pemimpin yang melanggar etika parti.

Kata beliau, antara yang dipecat keahlian ialah ADUN Rembia, Muhammad Jailani Khamis dari Cabang PKR Alor Gajah, dan ADUN Batu Lintang, See Chee How (Cabang Stampin).

Turut dipecat ialah Vernon Albert Kedit dari Cabang Betong, Mohd Nazree Mohd Yunus (Cabang Rembau), dan Syarul Ema Rena Abu Samah (Cabang Masjid Tanah).

“MPP juga bersetuju menggantung sementara keanggotaan 285 anggota sesuai dengan Fasal 41.6 perlembagaan parti, di samping Lembaga Disiplin sedang meneliti setiap aduan dan bukti terhadap mereka dan akan mengesyorkan tindakan selanjutnya kepada MPP,” katanya dalam kenyataan yang dipetik menerusi akaun Facebooknya, hari ini.

Jelas beliau, antara pemimpin PKR yang digantung keahlian ialah ADUN Lembah Jaya, Haniza Mohamed Talha dari Cabang Pandan; ADUN Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin (Permatang Pauh); Setiausaha PKR Selangor, Mohd Radzlan Jalaludin (Subang); dan Pegawai Khas Zuraida Kamaruddin, Rahimah Majid (Kudat).

Bagaimanapun, menurut Fahmi, terdapat lima kes, di mana Lembaga Disiplin telah mengeluarkan surat tunjuk sebab dan satu daripadanya ialah Chua Tian Chang atau Tian Chua dari Cabang Batu.

“Nama mereka yang dipecat atau digantung akan dimuatnaik dalam laman web parti hari ini.

“Dalam mengendalikan setiap kes disiplin, PKR sentiasa berpandukan kepada perlembagaan parti, selain menghormati prinsip keadilan sejagat.

“PKR akan terus menjalankan proses membaikpulih parti selepas episod pengkhianatan yang membawa kepada jatuhnya sebuah kerajaan yang dipilih secara sah melalui mandat rakyat,” katanya.

Beliau percaya, selepas ini PKR akan bertambah kukuh dalam usaha melaksana agenda reformasi demi rakyat Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.