KUALA LUMPUR – Jumlah dagangan Malaysia bernilai RM440.4 bilion pada suku pertama lalu, meningkat 1.2% tahun ke tahun.

Eksport mencecah RM238.7 bilion, 1.1% lebih tinggi daripada tempoh yang sama tahun lalu sementara import meningkat 1.3% kepada RM201.7 bilion, kata Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin.

Kedua-dua import dan eksport kembali mencatatkan pertumbuhan positif setelah menurun selama empat suku tahun pada 2019.

Lebihan dagangan pada S1 2020, meningkat sedikit iaitu 0.1% kepada RM37.0 bilion.

Pertumbuhan eksport disebabkan oleh peningkatan eksport ke Indonesia, Singapura, Amerika Syarikat dan Korea, sementara import yang lebih tinggi terutama dari Amerika Syarikat, Republik Korea, India, Arab Saudi dan
Indonesia.

Jabatan Perangkaan berkata, jumlah dagangan pada Mac 2020 berjumlah RM147.9 bilion, menurun sebanyak 3.8% tahun ke tahun.

Kedua-dua eksport dan import mencatatkan penurunan iaitu masing-masing 4.7% kepada RM80.1 bilion dan 2.7% kepada RM67.8 bilion. Imbangan dagangan pada Mac 2020 yang bernilai RM12.3 bilion, menyusut 14.2% berbanding Mac 2019.

Penurunan dalam eksport didorong oleh eksport domestik yang merosot 8.7% kepada RM62.9 bilion.

Sementara itu, eksport semula meningkat 13.4% kepada RM17.3 bilion.

Eksport yang lebih rendah pada Mac 2020 dicatatkan ke Thailand (-RM2.0 bilion), India (-RM1.4 bilion), Kesatuan Eropah (-RM1.1 bilion) dan Viet Nam (-RM966.2 juta).

Sementara import yang lebih rendah terutamanya dari Singapura (-RM1.9 bilion), Kesatuan Eropah (-RM 1.5 bilion) dan Thailand (-RM1.2 bilion).

Produk utama yang menyumbang kepada penurunan eksport adalah barangan elektrik dan elektronik (-RM4.4 bilion), gas asli cecair (-RM518.0 juta), kayu dan hasil keluaran kayu (RM293.0 juta), petroleum mentah (-RM101.6 juta), minyak kelapa sawit dan hasil keluaran minyak kelapa sawit (-RM48.8 juta) dan getah asli (-RM29.6 juta).

Bagaimanapun, eksport yang lebih tinggi dicatatkan untuk keluaran petroleum bertapis (+RM2.2 bilion).

Import mengikut penggunaan akhir didominasi oleh barangan modal, barangan perantaraan dan barangan penggunaan.
Sementara itu, import barangan modal berjumlah RM4.4 bilion menurun RM3.9 bilion.

Import bagi barangan perantaraan dan barangan penggunaan masing-masing mencatatkan kenaikan sebanyak RM763.0 juta dan RM410.9 juta. – MalaysiaGazette