KUALA LUMPUR – Pas komited untuk memastikan undang-undang berkenaan arak dan pemandu di bawah pengaruh alkohol diperketatkan serta dikenakan tindakan tegas.
Ketua Penerangannya, Kamaruzaman Mohamad berkata, tragedi mangsa maut dalam kejadian kemalangan jalan raya disebabkan pemandu mabuk menjadi igauan rakyat.
“Sepanjang tahun 2018, kematian berpunca daripada pemandu mabuk atau pemandu bawah pengaruh alkohol saja merekodkan 54 kes, manakala masing-masing 63 kes mangsa cedera parah dan cedera ringan.
“Lebih membimbangkan, walaupun negara berada dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kes yang ditahan pihak berkuasa melibatkan arak dan pemandu mabuk terus berlaku,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Beliau menyatakan, Pas akan memastikan penggubalan Akta Pengangkutan Jalan bersabit pemandu mabuk seterusnya menguatkuasakan akta kawalan terhadap minuman arak terutama di premis terbuka di percepatkan.
“Jika dilihat negara Thailand, Vietnam dan Rusia, kesalahan pemandu mabuk bakal digantung lesen pada tempoh masa tertentu, selain perlu membayar ganti rugi wang tunai kepada keluarga mangsa dan menjalani program khidmat masyarakat.
“Di negara Islam seperti UAE dan Arab Saudi pula, pesalah bukan sahaja dipenjara, malah didenda dan disebat di khalayak ramai,” katanya.
Kata Kamaruzaman, Pas menyeru rakyat mewujudkan gelombang solidariti bagi menuntut kerajaan bertindak segera kerana sudah terlalu banyak kemalangan maut berlaku akibat pemandu mabuk ini. – MalaysiaGazette