Yoodo Gank

KUALA LUMPUR – Pasukan e-sukan PUBG Mobile Malaysia, Yoodo Gank dinobatkan juara Grand Final Liga Profesional Asia Tenggara (PMPL SEA) Musim Bunga 2020 semalam.

Yoodo Gank muncul sebagai pasukan terbaik dalam kalangan pasukan-pasukan Asia Tenggara selepas berjaya mengumpul 284 mata dalam 15 pusingan yang dipertandingkan.

Kejayaan itu membolehkan Yoodo Gank membawa pulang hadiah wang tunai kira-kira RM128,000 (AS$30,000) dan diberikan slot untuk beraksi di Liga Dunia PUBG Mobile.

Selain wang kemenangan di tempat pertama itu, Yoodo Gank turut mendapat hadiah wang tunai tambahan kira-kira RM44,000 menerusi kemenangan Anugerah Pasukan Paling Popular di Malaysia, kutipan Chicken Dinner (mata kemenangan) sebanyak lima kali dan Anugerah Pemain Terbaik.

Yoodo Gank terdiri daripada empat pemain muda yang berbakat besar iaitu Aiman Mohamad (Man Parang) sebagai kapten, Abdul Azim Ikromi Abdul Rashid (Draxx) Muhamad Izzrudin Hashim (Jumper) dan Ahmad Fuad Razali (Fredo).

Mereka turut menewaskan jaguh dunia, Bigetron Red Aliens (Indonesia) yang sekadar selesa di tempat kedua.

Sementara itu dua lagi pasukan Malaysia, Team Secret MY dan Bigetron AROV masing-masing menduduki ke-lima dan ke-12 dalam kejohanan itu.

PMPL SEA berlangsung selama tiga hari melibatkat 16 pasukan terbaik Asia Tenggara dan menawarkan hadiah wang tunai kira-kira RM640,000 secara keseluruhan. – MalaysiaGazette