Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud.

KUALA LUMPUR – Warga asing yang memegang Pas Lawatan Sosial (PLS) dan telah tinggal lebih masa mulai 1 Januari lalu sehingga 14 hari bekerja selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dibenarkan pulang ke negara asal tanpa perlu mendapatkan Pas Khas (SP) di Pejabat Imigresen.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud berkata, mereka boleh meninggalkan negara ini melalui pintu masuk negara dengan melaporkan diri di Kaunter Imigresen bersama dokumen perjalanan yang sah dan maklumat mereka akan diambil serta direkodkan.

Beliau berkata, mereka yang meninggalkan negara dalam tempoh yang dinyatakan ini tidak akan dikenakan tindakan penguatkuasaan dan tidak disenarai hitamkan.

“Walaubagaimanapun, warga asing pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang tamat tempoh tidak boleh menggunakan kemudahan ini dan masih perlu mengikut peraturan sedia ada untuk pulang ke negara asal,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Khairul Dzaimee menegaskan, warga asing yang tidak pulang ke negara asal dalam masa 14 hari bekerja selepas tamat
PKP perlu merujuk dan mendapatkan pembuktian dari kedutaan masing-masing tentang justifikasi tidak dapat meningalkan negara ini atau mereka akan berhadapan dengan tindakan penguatkuasaan dan akan disenarai hitamkan. – MalaysiaGazette