Suasana orang ramai beratur untuk memajak emas dan barang kemas bagi membeli barangan keperluan harian berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) susulan penularan wabak Covid-19 di Sungai Way, Petaling Jaya. foto AFIQ RAZALI, 05 MEI 2020

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu menggunakan Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (MPI) untuk mengukur semula kemiskinan dan ketidakseimbangan dalam masyarakat kerana ramai lagi golongan terlepas pandang.

Selain memfokuskan golongan miskin di luar bandar, miskin bandar juga perlu dijadikan sebagai “focus group” kerana mereka lebih terdedah kepada risiko yang menjejaskan kualiti hidup.

Jelas Exco Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris, jurang pendapatan antara rakyat akan meningkat jika kerajaan tidak bertindak segera melaksanakan dasar bersifat inklusif, iaitu meningkatkan taraf isi rumah B40 ke arah masyarakat kelas menengah.

Katanya, tidak guna Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat dan berkembang pesat, tetapi jurang pendapatan antara rakyat semakin meluas hingga menyebabkan ada yang ketinggalan.

Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris

“Sedih melihat orang ramai bersesak-sesak mengunjungi kedai pajak gadai pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan, semalam.

“Ramai kalangan mereka menggadai barangan kemas kerana simpanan sudah kurang disebabkan tidak dapat bekerja untuk tempoh yang lama, khususnya golongan bergaji hari. Malah ada yang diberhentikan kerja,” katanya dalam kenyataan kepada media.

Hari pertama PKPB semalam, menyaksikan orang ramai mula menyerbu kedai pajak gadai di beberapa lokasi sekitar bandar.

Ada yang beratur sejauh 100 meter hanya untuk menyelesaikan urusan di premis pajak gadai.

Dr. Najmil Faiz yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, pandemik Covid-19 merupakan luar jangkaan dan memberi gambaran penuh kepada kerajaan mengenai realiti sebenar rakyat kurang berkemampuan.

Kata beliau, Bank Negara Malaysia (BNM) juga mendapati 75 peratus daripada rakyat negara ini tidak mempunyai simpanan sebanyak RM1,000 kerana lebih berbelanja daripada menyimpan untuk menampung kos sara hidup semakin tinggi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast