Billy Gilmour

LONDON – Persembahan bertenaga dipamerkan ‘wonderkid’ Chelsea, Billy Gilmour terus mendapat pujian sambil disifatkan pemain tengah berusia 18 tahun itu seperti aksi pemain profesional.

Pengurus West Ham United, David Moyes yang kebetulan juga berasal dari Glasgow, Scotland sama seperti Gilmour tidak menafikan pemain muda itu ditandatanganinya jika mendapat peluang.

”Jika salah seorang yang akan saya tandatangani esok, Gilmour adalah pilihan itama selepas persembahan pembukaan bersama Chelsea.

”Dia kelihatan seperti seorang pemain yang begitu profesional. Dia nampak seperti seorang pemain yang bernafsu dan jatuh cinta dengan permainan ini.

”Cara permainannya mengingatkan saya kepada pemain-pemain Scotland pada satu ketika dahulu yang sentiasa menjadi pemain yang baik, memiliki bakat besar dan pada ketika ini, Gilmour adalah pengganti,” ujar Moyes kepada Goal.

Gilmour yang merupakan prospek masa depan Chelsea dan Scotland telah mencuri tumpuan ramai selepas beraksi cemerlang ketika The Blues berjaya menundukkan Liverpool 2-0 di pusingan kelima Piala FA.

Aksi menariknya itu telah menyaksikan Frank Lampard memberikan peluang beraksi 90 minit pada perlawanan Liga Perdana Inggeris bertemu Everton di mana Chelsea menang selesa 4-0 di Stamford Bridge.

Berikutan persembahan matang dipamerkannya, Gilmour telah dinobatkan selaku pemain terbaik perlawanan bagi kedua-dua aksi tersebut.

Gilmour menyertai skuad remaja The Blues pada Julai 2017 dari Rangers dan setahun kemudian dia telah menandatangani kontrak profesional bersama Chelsea pada usia 17 tahun.

Kehadiran Lampard yang percaya kepada bakat muda memberikan peluang buat Gilmour untuk membuktikan kemampuannya setelah dia diserapkan masuk ke skuad utama pada 12 Februari lalu.

Namun baru sahaja Gilmour mahu mempamerkan lebih lagi kehebatannya, saingan liga terpaksa dihentikan susulan penularan wabak Covid-19 yang melanda dunia pada ketika ini. – MalaysiaGazette