KUALA LUMPUR- Malaysia masih menutup semua pintu masuknya kepada warga asing, tegas Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai hasrat syarikat penerbangan AirAsia Indonesia yang mahu menyambung penerbangan dari Surabaya ke Kuala Lumpur dan Johor Bahru bermula 18 Mei ini berikutan penurunan ketara kes positif Covid-19 di negara ini.

Menurut Ismail Sabri, beliau telah bercakap dengan AirAsia Bhd. berhubung kenyataan yang dikeluarkan sekutu syarikat penerbangan tambang murah itu.

“Mereka cakap tiada (pelan untuk menyambung semula penerbangan antarabangsa yang membawa masuk warga asing).

“Kerajaan masih meneruskan arahan seperti sebelum ini iaitu warga asing tidak dibenarkan untuk memasuki Malaysia melalui mana-mana pintu masuk sekali pun.

“Bagaimanapun rakyat Malaysia yang berada di luar negara boleh pulang ke negara ini tetapi perlu dikuarantin wajib selama 14 hari terlebih dahulu.

“Jadi, jika penerbangan itu membawa rakyat Malaysia sahaja, ia dibenarkan” katanya semasa sidang media hari ini.

Semalam, Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Indonesia, Veranita Yosephine berkata, keputusan untuk menyambung semula penerbangan itu dibuat memandangkan angka kes positif Covid-19 di Malaysia telah mula menunjukkan penurunan.

ARTIKEL BERKAITAN:

AirAsia Indonesia sambung penerbangan KL, JB 18 Mei ini

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast