Mukhairi Ajmal

KUALA LUMPUR – PKNP FC atau kini dikenali dengan Perak II dan pengendalinya, Abu Bakar Fadzim jelas merindui kelibat pemain muda berbakat, Mukhairi Ajmal untuk saingan musim ini.

Mukhairi Ajmal telah sah menjadi milik Selangor dan tampil beraksi bersama Selangor 2 pada permulaan musim ini di Liga Premier dan pada musim lalu, beliau mula mendapat tempat di Liga Super, sebelum tampil lebih kerap di saingan Piala Malaysia 2019.

Bercakap kepada Bernama, Abu Bakar menyatakan yang Mukhairi Ajmal adalah pemain muda yang berkualiti dan hampir sempurna. Mana-mana pasukan yang mendapatkannya akan berpuas hati dan gembira dengan apa yang pemain itu ada.

“Saya rasa kehilangan apabila PKNP FC tutup dan beliau ambil keputusan untuk ke Selangor 2, kerana memang saya nampak beliau seorang pemain muda yang hampir sempurna. Disebabkan itu juga saya berani berinya peluang beraksi dalam Piala Malaysia,” ujar Abu Bakar mengenai perasaannya melepaskan pemain berbakat itu.

“Memang saya nampak beliau seorang pemain muda yang hampir sempurna dan mana-mana pasukan akan gembira untuk mendapatkan pemain muda berkualiti sepertinya,” jelas pengendali berusia 48 tahun itu tentang Mukhairi Ajmal.

Jika diimbau kembali, walaupun pernah diturunkan dalam saingan liga, pemain berusia 18 tahun itu memperkenalkan dirinya kepada para peminat Liga Malaysia ketika PKNP FC tewas tipis 1-2 kepada Kedah dalam aksi suku akhir Piala Malaysia 2019.

Mempamerkan aksi bertenaga sepanjang perlawanan, malah berjaya membantu Yashir Pinto meledak gol sensasi dalam suku akhir pertama, Mukhairi Ajmal kemudiannya berjaya meledak satu gol dalam aksi timbal balik di Alor Setar.

“Apabila kita lihat beliau dan lariannya bersama bola dan juga ketika tanpa bola, seolah-olah seperti satu perancangan sedang dibuat oleh beliau ketika itu,” jelas Abu Bakar yang turut berkata sukar untuk melihat pemain muda dengan aksi sebegitu.

”Bukan senang kita nak tengok pemain muda yang begitu selesa di atas padang bersaing bersama lawan yang lebih berpengalaman luas. Saya berbangga kerana kita ada pemain muda seperti beliau yang berani membuat keputusan,” tambahnya.

Selain itu, Abu Bakar menyifatkan beliau pemain muda yang memiliki tahap kecerdasan intelektual (IQ) yang tinggi, malah beliau boleh mencorakkan perlawanan dan berfikir dalam tempoh yang singkat sebelum membuat hantaran,” ujarnya.

Begitupun, mungkin penampilannya bersama skuad utama Selangor bakal tertangguh untuk satu tempoh masa.

Pengalamannya bersama PKNP FC di Liga Super dan Piala Malaysia masih mentah di mata jurulatih Gergasi Merah, B. Satiananthan.

Pada awal tahun lalu, Satiananthan dipetik berkata kepada Goal.com yang Mukhairi Ajmal masih memerlukan masa untuk memecah masuk ke skuad utama kerana masih ada beberapa perkara perlu ditingkatkannya seperti mengekalkan konsistensi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast