PUCHONG – Seminggu tidak menjamah nasi, bersahur sekadar membasahkan tekak dengan air kosong, berbuka pula hanya mengalas perut dengan roti.
Itulah kehidupan Zainol Hasan Martotilla warga Indonesia yang kini terputus mata pencarian kerana terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.
Anak jati Jawa Timur yang menetap di negara ini bersama anak angkat lelakinya berumur 10 tahun tinggal di sebuah rumah yang disewa RM800 setiap bulan bersama-sama kakaknya yang merupakan ibu tunggal dan dua lagi anaknya.
Kehidupan penghuni rumah itu semakin dihimpit kesukaran apabila kakaknya juga tidak lagi boleh keluar mengambil upah mengurut di kawasan berdekatan seperti sebelum ini.
“Saya terus terang kalau ada beras baru kami akan makan nasi di rumah ini kalau tidak minum air kosong, kadang-kadang roti kosong.
“Sudah lebih satu minggu tidak berbuka dan tidak bersahur dengan anak saya. Saya perlu bertahanlah nak keluar bekerja sebelum ini tidak boleh, nak pulang ke kampung pun tidak boleh,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Zainol merupakan salah seorang penerima sumbangan yang dihulurkan Pasukan Sukarelawan Penyelamat Kecemasan Perubatan Bakti Malaysia (PSPKPBM) dalam misi mereka meringankan beban golongan yang hilang punca pendapatan.
Ada kalanya Zainol sanggup menebalkan muka meminta wang daripada rakan-rakannya untuk membeli beberapa keping roti canai buat dirinya, kakaknya termasuk tiga lagi kanak-kanak di rumah itu.
Namun beliau sedar tidak boleh bergantung dengan kawan-kawannya yang turut berhadapan dengan kekangan kewangan saat ini.
“Selalu kalau tidak kerja pun saya ke rumah kawan bolehlah minta makan sikit dari kawan baru-baru ini kawan pun tidak boleh keluar bekerja.
“Kalau ada wang sikit saya beli roti canai makan berkongsi sama-sama,” katanya lagi.
Zainol berkata beliau yang merantau dari kampung halaman ke Malaysia demi mencari rezeki sejak 1993 lagi telah membuat pelbagai jenis pekerjaan termasuklah menjadi pembantu di sebuah pejabat syarikat swasta baru-baru ini.
Namun sepanjang 27 tahun di sini, penularan Covid-19 telah memaksa kerajaan menghentikan beberapa sektor ekonomi menyebabkan beliau kehilangan punca pendapatan sehingga tidak mampu membayar sewa rumah.
Memasuki Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Zainol berharap rezekinya selepas ini tidak akan terputus lagi walaupun sekadar kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.-MalaysiaGazette