Datuk Moehamad Izat Emir

KUALA LUMPUR – Dewan Perdagangan dan Industri Asean (DPIA) mahu kerajaan mempertimbangkan isu kebankrapan peniaga yang terjejas sepanjang Covid-19 melanda negara dua bulan lalu.

Presiden DPIA, Datuk Moehamad Izat Emir berkata, langkah perbincangan itu supaya pihak perundangan tidak sewenang-sewenangnya mengenakan status bankrap kepada para peniaga yang terjejas.

“Dari sudut undang-undang hakim harus teliti memahami masalah ini sebelum memutuskan status muflis ini. Peniaga yang dimufliskan ini akan memberi kesan kepada perniagaan mereka dan ekonomi domestik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Moehamad Izat, hutang dan kos operasi dalam perniagaan bukan perkara yang mudah untuk diuruskan oleh golongan peniaga berikutan tiada aktiviti perniagaan hampir dua bulan.

Antara yang terkesan pengusaha teksi, pengusaha kecil katering dan butik pengantin serta hampir 40 peratus perniagaan baru teknologi mungkin gulung tikar seperti dinyatakan oleh Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia baru-baru ini.

“Malah di luar negara juga beberapa bidang peruncitan turut tejejas akibat isu yang sama. Kerajaan kena cari jalan apa yang perlu bagi membantu peniaga untuk meneruskan perniagaan dan elak bankrap ini berlaku,” katanya.

Menurut beliau, perkara itu bukan disengajakan dan bukan kelemahan peniaga tetapi terjejas disebabkan isu Covid-19.

“Saya harap sangat Perdana Menteri dapat memandang serius perkara ini. DPIA turut menerima banyak aduan daripada peniaga yang terjejas dan mereka tidak tahu macam mana untuk tingkat semula perniagaan,” ujarnya.- MalaysiaGazette