Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam hari ini memutuskan satu garis panduan solat Jumaat semasa tempoh Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri bagaimanapun berkata, resolusi muzakarah itu akan di bawa kepada Majlis Raja-Raja.

“Ia bagi sebagai satu pandangan dan nasihat untuk dipertimbangkan danĀ  diputuskan oleh pihak berkuasa agama negeri.

“Perlembagaan PersekutuanĀ  menetapkan urusan berkaitan hal ehwal Islam berada di bawah ruang lingkup kuasa dan bidang kuasa negeri di bawah naungan Raja-Raja bagi negeri-negeri, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Awal hari ini, Zulkifli berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah telah meneliti cadangan garis panduan bagi pelaksanaan aktiviti keagamaan dan surau untuk mencegah jangkitan Covid-19.

Kata Zulkifli, faktor masa yang sesuai untuk pelaksanaan garis panduan itu akan berpandukan kepada nasihat dan saranan KKM selaku pihak yang berkepakaran.

Tambah Zulkifli lagi, Raja-raja Melayu mempunyai hak untuk memutuskan sebarang urusan berhubung hal ehwal agama di negeri-negeri.

“Saya amat menjunjung hikmah dan kebijaksanaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dalam mempertimbangkan dan memutuskan sebarang urusan berkaitan hal ehwal Islam di negeri-negeri dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang
Dipertuan Agong dalam mempertimbangkan dan memutuskan sebarang urusan berkaitan hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan dan negeri-negeri tidak beraja,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru seluruh umat Islam untuk mematuhi segala peraturan berkaitan penangguhan aktiviti keagamaan di masjid dan surau yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama negeri dan sentiasa memanjatkan doa agar wabak ini beransur hilang.

“Yakinlah bahawa akan tiba saatnya masjid dan surau kembali meriah dengan pelbagai aktiviti keagamaan dan diimarahkan dengan sebaiknya,” katanya. – MalaysiaGazette