Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan membuka semula 13 lagi urusniaga yang melibatkan kenderaan perdagangan mulai 11 Mei ini.

Bagaimanapun perkhidmatan kaunter JPJ yang beroperasi pada hari bekerja adalah bermula 8 pagi sehigga 3 petang sahaja.

Justeru demi memudahkan dan memercepatkan urusniaga, JPJ menyarankan pembayaran dilakukan menerusi e-payment iaitu debit atau kad kredit.

“JPJ memahami rungutan orang ramai berkenaan dengan pembukaan kaunter urusniaga di pejabat JPJ hanya untuk urusan kenderaan perdagangan dan bagi beberapa jenis urusniaga sahaja.

“Seperti yang telah dimaklumkan sebelum ini, pembukaan urus niaga JPJ adalah secara berperingkat bagi mengurangkan risiko penyebaran wabak pandemik covid-19 yang melanda negara pada ketika ini.

“Pembukaan urus niaga pada waktu ini adalah lebih memfokuskan kepada kenderaan perdagangan ataupun komersial sahaja bagi menyokong kelangsungan aktiviti ekonomi
negara,” kata JPJ menerusi kenyataan.

Berikut adalah 13 urusniaga yang dibuka semula oleh JPJ.

1. Pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi kenderaan e-hailing/ teksi/kereta sewa;
2. Pembaharuan Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) bagi kenderaan ehailing/teksi/kereta sewa;
3. Pendaftaran baru bagi kenderaan komersial;
4. Tukar hak milik bagi kenderaan komersial.;
5. Permohonan status vintaj/klasik;
6. Permohonan ubahsuai kenderaan komersial;
7. Permohonan A16 (berat dan dimensi);
8. Permohonan sijil timbang berat (permohonan di Ibu Pejabat);
9. Permohonan pelan teknikal kenderaan (permohonan di Ibu Pejabat);
10. Permohonan pemasangan lampu mata arah (permohonan di Ibu Pejabat);
11. Permohonan pendaftaran PE/ konsultan (permohonan di Ibu Pejabat);
12. Permohonan Component Type Approval (CTA) (permohonan di Ibu Pejabat);
13. Permohonan Vehicle Type Approval (VTA) (permohonan di Ibu Pejabat).

Selain itu, JPJ mengingatkan kenderaan persendirian masih tertakluk terhadap pengecualian pembaharuan LKM dan Lesen Memandu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti yang telah diumumkan pada 24 Mac yang lalu oleh Kementerian Pengangkutan.

“Sehubungan itu, orang awam dibenarkan untuk memandu kenderaan jika LKM ataupun lesen memandu telah tamat tempoh dalam waktu PKP ini dengan syarat insurans kenderaan masih berkuat kuasa,” ujar JPJ. – MalaysiaGazette