Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Pernah menjadi salah seorang pelajar Allahyarham Datuk Ismail Kamus, pendakwah terkenal itu disifatkan sebagai tokoh yang banyak menyumbang ilmu kepada seluruh umat Islam di tanah air.

Justeru Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yakin pemergiaan Allahyarham pada hari ke-15 umat Islam berpuasa memberi kesan mendalam kepada ramai yang mengenalinya.

“Kita ucapkan takziah kepada umat keseluruhannya atas kehilangan tokoh ulama terkenal tanah air kita.

“Saya rasa tidak ada seorang yang tidak kenal siapa dia Datuk Ismail Kamus,” katanya kepada pemberita ketika hadir di Masjid As-Sobirun selepas memberi penghormatan terakhir hari ini.

Terdahulu Khairuddin berkata, beliau pernah belajar dengan Ismail dalam bidang perubatan Islam sewaktu penubuhan Pusat Rawatan Islam Darussalam Malaysia

Bagi saya sendiri secara peribadi pernah menjadi murid beliau khususnya dalam perubatan Islam ketika awal penubuhan pusat rawatan itu.

Untuk rekod. Allahyarham Datuk Ismail Kamus dilahirkan pada 2 Disember 1948 di Kampung Batang Rening , Ulu Selangor.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Arab Batang Kali sebelum meneruskan pengajian ke Ma’ahad Hisyamuddin, Klang di mana beliau berguru dengan seorang ulama tersohor, Asy-Syeikh Mahmood al-Arif al-Bukhori.

Allahyarham merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia selama sepenggal pada 1999 hingga 2004 dan pernah memegang jawatan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat.

Pada 9 Mei tahun lalu, Allahyarham yang juga Pengasas dan Penasihat Pusat Rawatan Islam Darussalam Malaysia dilaporkan menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN). – MalaysiaGazette