Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof menerima usul yang dikemukakan oleh Tun Dr, Mahathir Mohamad untuk meminta undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau dalam satu kenyataan media hari ini berkata, usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27(3) diterima untuk dibawa ke mesyuarat Dewan Rakyat pada 18 Mei nanti.

“Satu usul di bawah Mesyuarat 27(3) yang dibangkitkan iaitu: Mengemukakan resolusi untuk membuat ketetapan bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai ahli yang berhormat Pagoh tidak mempunyai majoriti ahli-ahli yang berhormat Dewan Rakyat.

“Usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27 (3) diterima untuk dibawa ke mesyuarat Dewan Rakyat kelak,” katanya.

Peraturan mesyuarat 27(3) menyatakan sebarang usul hendaklah dikeluarkan tidak kurang daripada 14 hari, kecuali usul yang dikeluarkan atas kapasiti menteri, maka memadai usul itu dikeluarkan dalam tempoh masa tujuh hari.

Usul berkenaan dibawa oleh Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi dan bekas Perdana Menteri.

Manakala, satu lagi usul yang dibawa oleh Mahathir ditolak speaker, iaitu membuat ketetapan bahawa Yang Di Pertua Dewan Rakyat dikekalkan sehinga Dewan Rakyat dibubarkan.

Sebelum ini, Setiausaha Dewan Rakyat pada 17 April lalu mengeluarkan notis kepada semua anggota parlimen mengenai sidang yang akan diadakan pada 18 Mei ini.

Dewan Rakyat yang diadakan itu nanti hanya akan membincangkan rang undang-undang dan usul membabitkan urusan kerajaan sahaja.

Bahkan, tidak ada sesi pertanyaan jawab lisan di bawah Peraturan Mesyuarat 22(2) dan 22(5), pertanyaan bertulis dan usul.- MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Sungguh pun tlh mencecah 94 tahun,masih kemaruk nak kuasa lagi mahathir ni

  2. apa kata kita usul tak percaya pada usul atok dan kuncu2 nya tu…..biaq panas puak2 atok yg komunis tu

Comments are closed.