ringgitHarga saham di Bursa Malaysia tinggi semasa dibuka hari ini, didorong beberapa sokongan belian dalam saham wajaran tinggi terpilih walaupun pasaran saham Asia mencatatkan prestasi bercampur-campur.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka diniagakan berhati-hati minggu depan apabila para pelabur menunggu pengumuman beberapa data ekonomi termasuk keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku pertama Malaysia.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global AxiTrade Stephen Innes berkata, pasaran mengambil kira perkembangan dalam rundingan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China kerana masih perlu berhati-hati sehingga Presiden AS Donald Trump memberikan pengesahan beberapa tarif tidak akan dikenakan semula ke atas China.

Namun begitu, situasi saling tuduh menuduh antara kedua-dua kuasa besar itu tentang dari mana virus Covid-19 sebenarnya berpunca nampaknya akan berterusan buat seketika, katanya.

“Keadaan dijangkakan sukar tetapi mungkin bertambah baik pada suku kedua 2020, tetapi saya tidak mengharapkan sesuatu pada minggu depan berikutan pengumuman keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang dijangkakan lemah,” katanya kepada Bernama.

Bank Negara Malaysia dijangka mengumumkan angka KDNK suku pertama negara pada 13 Mei.

Sementara itu, pasaran juga dijangka memantau pengumuman senarai gaji bukan ladang AS pada Jumaat malam selepas ekonomi terbesar dunia itu dilaporkan mencatatkan jumlah kehilangan pekerjaan sebanyak 20.5 juta pada April, penurunan paling buruk sejak era Great Depression.

Sepanjang minggu yang baru berakhir ini, Bursa Malaysia mencatatkan dagangan jajaran kecil berikutan pengumuman beberapa angka ekonomi termasuk data pembuatan yang lemah dan penurunan kadar dasar semalaman oleh Bank Negara Malaysia.

Pada Isnin, Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan Malaysia IHS Markit dilaporkan mencatatkan penurunan mendadak kepada 31.3 pada April 2020 daripada 48.4 pada Mac 2020, apabila sektor pembuatan berada dalam tekanan berikutan langkah-langkah yang dilaksanakan bagi membendung pandemik COVID-19.

Bank pusat menurunkan Kadar Dasar Semalamannya (OPR) sebanyak 50 mata asas kepada 2.00 peratus pada Selasa, paras OPR terendah dalam tempoh 10 tahun dengan kali terakhir berada pada paras 2.0 peratus adalah pada Februari 2010.

Bursa Malaysia ditutup pada Khamis sempena cuti umum Hari Wesak dan akan ditutup pada Isnin sempena cuti gantian bagi cuti umum Nuzul Al-Quran yang jatuh pada hari Ahad.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 24.97 mata untuk ditutup kepada 1,382.81.

Di papan skor, Indeks FBM Emas susut 72.67 mata kepada 9,735.91, Indeks FBMT 100 jatuh 90.70 mata kepada 9,586.51 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 43.69 mata kepada 10,846.45.

FBM 70 meningkat 239.44 mata kepada 11,899.67 dan Indeks FBM ACE melonjak 226.31 mata kepada 5,021.41.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 187.64 mata kepada 12,285.27, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.20 mata kepada 120.64 dan Indeks Perladangan merosot 121.35  mata kepada 6,239.67.

Bagi minggu dagangan singkat yang baru berakhir ini, jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 21.80 bilion unit bernilai RM10.71 bilion daripada 20.88 bilion unit bernilai RM10.54 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 14.48 bilion saham bernilai RM9.20 bilion saham daripada 13.19 bilion saham bernilai RM8.81 bilion.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.32 bilion unit bernilai RM250.62 juta daripada 995.99 juta unit bernilai RM2.30 bilion.

Jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 6.0 bilion saham bernilai RM1.27 bilion daripada 6.36 bilion saham bernilai RM1.49 bilion. – MalaysiaGazette