Syed Mahdhar Syed Hussain (kiri) Ketua Pegawai Operasi Sektor Perladangan FGV bersama dengan Anil Kumar Chigurupati, Pengarah Pre Unique (India) Pvt Ltd.

KUALA LUMPUR – FGV Trading Sdn Bhd (FGVT) menandatangani Perjanjian Usaha Sama dengan Pre-Unique India Pvt Ltd (PreU) yang berpusat di Hyderabad untuk membentuk syarikat usaha sama (JV) yang berpangkalan di India.

FGVT adalah anak syarikat FGV Plantations Sdn Bhd yang seterusnya merupakan anak syarikat milik penuh FGV Holdings Berhad (FGV).

FGV akan memegang saham ekuiti 70 peratus dan PreU akan memegang baki 30 peratus dalam usaha sama itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, prospek pertumbuhan pasaran India sangat besar memandangkan jumlah penduduknya melebihi 1.3 bilion. Usaha sama ini akan berfungsi sebagai batu loncatan bagi FGV untuk turut serta secara langsung dalam pasaran produk makanan di India, terutama di wilayah India Selatan.

Sebelum ini, FGVT mengeksport minyak sawit mentah (CPO) dan produk tertapis (refined products) ke pasaran India.

“Usaha sama ini sangat bersesuaian dengan strategi jangka panjang FGV untuk menjadi salah satu pemain perniagaan agri bersepadu dan lestari terkemuka di dunia.

”Ini juga merupakan peluang besar bagi FGV untuk mewujudkan kehadiran di sepanjang rantaian nilai minyak sawit di pasaran pengguna India dengan tumpuan khusus pada produk makanan barangan pengguna cepat laris (FMCG),” kata Haris.

FGVT adalah entiti sehenti Kumpulan FGV yang memberi tumpuan kepada penjualan minyak sayuran, minyak sawit dan minyak laurik secara pukal ke pasaran tempatan dan destinasi eksport seperti China, India dan Pakistan.

Ia menguruskan keseluruhan spektrum rantaian bekalan dari hujung ke hujung, dengan pasukan pedagang yang  berpengalaman dan berjaya dalam mengendalikan produk yang boleh dimakan dan tidak boleh dimakan.

PreU terlibat dalam, antara lain, perniagaan penyelesaian kejuruteraan untuk kilang kelapa sawit, loji tenaga biomas & gasifikasi, loji kompos metana, pembinaan sivil dan semua kerja yang berkaitan. Dalam usaha sama ini, PreU akan bertanggungjawab untuk menyediakan akses dan jangkauan pasaran tempatan melalui usaha sama tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast